Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Naik Taraf Tapak Penjaja Tandop Manfaatkan 74 Peniaga

14/02/2026 11:36 AM

ALOR SETAR, 14 Feb (Bernama) -- Projek naik taraf kawasan Tapak Penjaja Tandop di sini, yang dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) akan memanfaatkan 74 peniaga harian, termasuk peniaga bagi sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata selaras dengan hasrat untuk penyusunan dan naik taraf kawasan tapak penjaja itu, Datuk Bandar Alor Setar telah memohon pelaksanaan projek tersebut kepada pihaknya pada penghujung 2025. 

"Hasrat Datuk Bandar Alor Setar adalah untuk memastikan tapak penjaja ini dapat beroperasi semula sebagai Tapak Bazar Ramadan Tandop semasa bulan puasa tahun ini yang dijangka bermula pada 19 Feb.

Ad Banner
Ad Banner

"Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah dilantik sebagai agensi pelaksana dan telah melaksanakan projek naik taraf kawasan ini dengan jumlah peruntukan RM200,000," katanya pada Majlis Penyerahan Projek Kerja-kerja Menaik Taraf Bahu Jalan Serta Kerja-kerja Berkaitan di Kawasan Perusahaan Tandop Baru di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata skop kerja naik taraf tersebut merangkumi pembinaan tapak lantai konkrit sepanjang 170 meter dengan kelebaran enam meter serta kerja berkaitan, bagi memastikan permukaan tapak penjaja yang stabil, selamat dan ruang operasi perniagaan yang teratur.

Saifuddin Nasution berkata Tapak Penjaja Tandop telah siap sepenuhnya pada 13 Feb dan selain peniaga harian, tapak itu juga akan memanfaatkan 171 peniaga pasar malam (setiap Selasa) dan menyediakan 130 tapak bazar Ramadan.

"Projek ini juga bertujuan meningkatkan aspek kemudahan, keselesaan kepada peniaga dan orang awam, selaras dengan usaha memperkasa persekitaran penjajaan yang lebih tersusun, bersih dan kondusif," katanya.

Beliau berkata kawasan Tandop adalah lokasi strategik bagi pusat pertumbuhan ekonomi di Kedah, merangkumi kawasan komersial, pusat peruncitan, akses kepada lebuh raya utama, perumahan, industri ringan dan perdagangan, sekali gus menjadi tumpuan penjaja kecil yang menjalankan perniagaan secara berperingkat dan berkembang dari semasa ke semasa. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan