Ad Banner
 AM > BERITA

Ops Bersepadu Khazanah: Kilang Perabot Tanpa Lesen Diserbu, Rampasan Lebih RM700,000

23/02/2026 11:22 PM

IPOH, 23 Feb (Bernama) -- Sebuah kilang memproses dan membuat perabot yang beroperasi tanpa lesen sejak setahun lepas diserbu dan sejumlah barangan bernilai lebih RM700,000 dirampas dalam Operasi Bersepadu Khazanah di Kuala Kangsar hari ini.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata operasi pada 10.30 pagi dengan disertai Polis Diraja Malaysia, Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Perak itu turut menahan seorang lelaki berusia 43 tahun dipercayai pemilik premis.

“Hasil pemeriksaan di kilang itu mendapati pemiliknya gagal mengemukakan permit atau lesen untuk mendirikan dan mengendalikan kilang perabot sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 3 (1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1987 negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata siasatan awal mendapati premis itu telah beroperasi sejak awal tahun lepas tanpa kelulusan dan lesen sah daripada pihak berkuasa.

Semakan turut mendapati pemilik premis pernah diberikan dua notis peringatan untuk memohon lesen oleh Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar namun gagal mematuhi arahan tersebut.

Balveer Singh berkata dalam serbuan itu pelbagai mesin dan kelengkapan yang digunakan untuk memproses dan menghasilkan perabot, pelbagai jenis papan lapis dan perabot separa siap telah dirampas dengan anggaran berjumlah RM734,990.

“Kes diserahkan kepada Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar untuk siasatan lanjut dan pihak MPKK juga telah mengeluarkan dua kompaun kepada pemilik premis atas kesalahan tiada papan tanda iklan perniagaan serta tidak mempunyai lesen perniagaan,” katanya.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan