KUANTAN, 24 Feb (Bernama) -- Pencapaian Pahang merekodkan skor tertinggi Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 menjadi bukti bahawa semangat kebersamaan, saling menghormati dan rasa kekitaan yang tinggi terus menjadi kekuatan negeri ini.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di Facebook berkata pencapaian itu bukan sekadar angka, tetapi juga mencerminkan kesepaduan rakyat berbilang kaum dan agama, hasil tadbir urus yang berteraskan keadilan, ketelusan serta pembangunan yang seimbang demi kesejahteraan bersama.
“Alhamdulillah, Pahang telah merekodkan skor tertinggi IPNas 2025 dengan catatan 0.817, sekali gus muncul sebagai negeri paling kukuh dari segi perpaduan dan keharmonian rakyat di Malaysia,” katanya serta menzahirkan ucapan syabas dan terima kasih kepada seluruh rakyat negeri itu.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus komited memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan memastikan pembangunan negeri ini dapat dinikmati oleh semua.
Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan memaklumkan pada peringkat negeri, Pahang muncul paling kukuh dengan skor 0.817 diikuti Melaka (0.816) dan Sarawak (0.791).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial