Ad Banner
 AM > BERITA

LIG Nex1 Dari Korea Selatan Tawar KM-SAM Penuhi Keperluan Sistem Pertahanan Udara Malaysia

27/02/2026 03:08 PM

Oleh NABILAH SALEH

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- LIG Nex1 dari Korea Selatan secara rasmi mencadangkan sistem KM-SAM (Cheongung) untuk memenuhi keperluan program sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana (MERAD) Malaysia yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Program tersebut merupakan keutamaan strategik yang sejajar dengan pelan tindakan peningkatan keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pejabat LIG Nex1 Malaysia, Osung Lee berkata KM-SAM yang kini digunakan oleh Tentera Udara Republik Korea dan dikendalikan oleh beberapa negara, menyediakan keupayaan antipesawat dan peluru berpandu antibalistik.

“Sistem kami telah terbukti berkesan dan digunakan oleh Tentera Udara Korea. Tidak seperti sesetengah pesaing yang hanya menumpukan pada fungsi antipesawat, KM-SAM merangkumi keupayaan antibalistik pada harga yang kompetitif,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual, baru-baru ini.

Lee berkata tempoh penghantaran dan daya saing kos adalah antara kelebihan sistem ini, terutamanya memandangkan beberapa negara menghadapi tempoh menunggu yang panjang untuk platform yang serupa.

Selain bidaan MERAD, beliau berkata syarikat itu berhasrat untuk mengukuhkan operasi Asia Tenggaranya di Malaysia, dengan sasaran meningkatkan keupayaan perindustrian tempatan secara beransur-ansur.

Lee berkata menerusi pendekatan eksport “K-Defence” Korea Selatan, pemindahan teknologi akan merangkumi latihan berstruktur untuk jurutera Malaysia di Korea Selatan, diikuti dengan penglibatan tempatan dalam pengeluaran secara berperingkat.

LIG Nex1 membuka cawangannya di Malaysia pada Disember tahun lepas, menambah kepada senarai pejabat antarabangsanya yang lain yang berada di Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Amerika Latin.

Pejabat di Kuala Lumpur itu berfungsi sebagai pusat penyelarasan serantau untuk Asia Tenggara.

Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dilaporkan merancang untuk membuat perolehan sistem MERAD pada 2026 di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) RMK13, untuk melengkapkan dan menyepadukannya dengan Sistem Pertahanan Udara Jarak Dekat (SHORADS) yang kini digunakan merentasi angkatan tentera negara.

Perolehan sistem MERAD merupakan sebahagian daripada pelan pemodenan yang dijadualkan dilaksanakan sepanjang RMK13, selaras dengan pendekatan pemodenan keupayaan jangka panjang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara berperingkat. 

Perolehan tersebut yang dirancang semasa RMK13 dianggap sebagai salah satu langkah paling penting dalam usaha Malaysia untuk mewujudkan kerangka pertahanan udara negara yang berperingkat, berwibawa dan berkesan dari segi operasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan