Ad Banner
 AM > BERITA

Angkatan Tentera Berwibawa, Berdisiplin Benteng Ampuh Pelihara Keselamatan Negara

27/02/2026 05:51 PM

KANGAR, 27 Feb (Bernama) -- Angkatan tentera berwibawa, berdisiplin serta sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi menjadi benteng ampuh memelihara kemerdekaan, keselamatan dan maruah negara secara berterusan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia bertitah kekuatan pertahanan merupakan tunjang utama kedaulatan sesebuah negara. 

“Angkatan tentera bukan sekadar simbol kekuatan bersenjata malah benteng terakhir negara yang dibangunkan melalui pengurusan sumber manusia yang cekap, pemilikan aset pertahanan mantap, strategi tuntas dan doktrin yang sentiasa relevan dengan dinamik geopolitik global yang sentiasa berubah," titah baginda.

Ad Banner
Ad Banner

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian semasa menyempurnakan Majlis Iftar bersama-sama Warga Markas Pemerintahan Armada Timur (MAWILLA) 2 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Sandakan, Sabah semalam, seperti dimaklumkan kenyataan Istana Arau hari ini. 

Majlis berbuka puasa itu diadakan bersempena Program Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Negeri Sabah (EKS PERBAH) bagi tahun ini yang berlangsung empat hari bermula semalam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah kedudukan geografi Malaysia yang strategik memberikan kelebihan signifikan dalam memperkukuh peranan negara pada peringkat serantau.

Namun, baginda bertitah kelebihan itu menuntut tahap kesiapsiagaan yang tinggi, khususnya dalam pengurusan keselamatan sempadan darat, laut dan udara agar sentiasa terkawal dan terpelihara.

“Hubungan budaya serta ikatan kekeluargaan masyarakat di kawasan sempadan menjadi asas penting kepada kerjasama dan keharmonian serantau.

“Justeru, ia wajar terus diperkasakan melalui kawalan dan penguatkuasaan yang berkesan demi memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin," titah baginda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan