KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meraikan tujuh pemuda yang menyelamatkan seorang ibu bersama dua anak kecil dalam nahas di Tasik Biru, Kundang, Selangor baru-baru ini, dalam satu majlis berbuka puasa di Kompleks Seri Perdana.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar menyifatkan tindakan mereka tanpa ragu mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan nyawa insan lain adalah cerminan nilai kemanusiaan yang luhur serta semangat ihsan amat tinggi.
“Keberanian dan keprihatinan sebegini wajar dihargai serta dijadikan teladan oleh seluruh masyarakat,” kata beliau.
Perdana Menteri turut menyampaikan sagu hati sebagai tanda penghargaan atas keberanian dan jasa mereka, sambil menegaskan bahawa ketujuh-tujuh pemuda berkenaan bukan sahaja wira kepada keluarga yang diselamatkan, malah lambang kemuliaan akhlak serta solidariti rakyat Malaysia yang sentiasa bersedia membantu tanpa mengira latar belakang.
Dalam kejadian Isnin lepas itu, keberanian tujuh pemuda itu yang bertindak terjun ke dalam tasik telah menyelamatkan seorang wanita bersama dua anaknya selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam tasik berkenaan.
Mereka ialah Mohd Shahrizal Jarami, 40; Mohamad Fahmi Ismail, 33; Hariz Ismat Ruzaiizan, 26; Mohamad Zulfadhli Mohd Nasir, 23; Muhammad Aiman Hakimi Mohd Rosnizam, 23; Muhammad Nor Haiqal Abd Karim, 23; dan Adam Syah Reza Hendri, 19.
Wanita berusia lingkungan 40-an bersama dengan dua anak perempuannya yang masing-masing berusia tiga dan enam tahun itu kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial