Ad Banner
 AM > BERITA

10 Hari Ops Pantau: Rampasan RM1.09 Juta, 295 Kes Direkodkan

28/02/2026 06:17 PM

PAPAR, 28 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan nilai rampasan berjumlah RM1.09 juta melibatkan 295 kes sepanjang pelaksanaan Ops Pantau yang bermula 19 Feb lepas hingga hari ini.

Menterinya Armizan Mohd Ali berkata dalam tempoh 10 hari operasi dijalankan, sebanyak 16,059 premis diperiksa di seluruh negara meliputi pelbagai jenis premis termasuk bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar basah, pasar awam dan kedai runcit.

“Sebanyak 143 kes melibatkan kesalahan gagal memaparkan tanda harga, manakala 78 kes lagi berkaitan kesalahan alat timbang dan sukat.

Ad Banner
Ad Banner

“Bagi bazar Ramadan sahaja, daripada 16,059 premis diperiksa itu, sebanyak 6,268 adalah bazar Ramadan dan hanya dua kes dikesan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih, Jualan RAHMAH MADANI dan Advokasi Kepenggunaan di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Papar itu berkata hasil pemeriksaan di bazar Ramadan mendapati tahap pematuhan peniaga amat memuaskan berikutan hanya dua kes ketidakpatuhan direkodkan.

Armizan berkata secara keseluruhan kesalahan yang dikesan melibatkan kegagalan meletakkan tanda harga serta kesalahan berkaitan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan mengikut peraturan ditetapkan.

Katanya Ops Pantau akan diteruskan sehingga 20 Mac ini bagi memastikan pematuhan undang-undang, kestabilan harga dan kecukupan bekalan sepanjang Ramadan hingga menjelang Aidilfitri.

Sementara itu, beliau berkata Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) kini menjadi inisiatif tetap kerajaan dan tidak lagi dilaksanakan secara ad hoc.

Katanya PJRM ditetapkan diadakan tiga kali sebulan bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan takwim lebih awal disediakan di laman sesawang kementerian bagi memudahkan rakyat merancang pembelian.

“Sepanjang Ramadan ini, kementerian menyasarkan pelaksanaan 1,898 PJRM di seluruh negara dan setakat hari ini, sebanyak 541 program sudah dilaksanakan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan