SEPANG, 2 Mac (Bernama) -- Memasuki hari ketiga konflik di Timur Tengah yang menyaksikan ribuan penerbangan dibatalkan di seluruh dunia, pengurusan penumpang di Lapangan Terbang Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1) masih kelihatan terkawal dan tenang.
Tinjauan Bernama di KLIA T1 setakat 12 tengah hari tadi mendapati majoriti penerbangan adalah ke negara di Asia seperti Singapura, Ho Chi Minh City, Danang dan Hanoi (Vietnam), Denpasar dan Jakarta (Indonesia), Shenzhen, Chongqing dan Guangzhou (China) serta Nepal.
Papan pemuka ketibaan turut menunjukkan penerbangan masuk, antaranya dari Phuket (Thailand), Lombok, Jakarta dan Surabaya (Indonesia), Manila (Filipina) serta Danang (Vietnam), dan tiada sebarang penerbangan terpilih ke dan dari destinasi Timur Tengah.
Keadaan trafik penumpang juga didapati tidak terlalu sesak berbanding hari kebiasaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan ketara menjelang waktu tengah hari.
Tinjauan turut mendapati tiada penumpang terkandas di terminal dengan petugas lapangan terbang meneruskan tugas seperti biasa, sekali gus mencerminkan pengurusan operasi yang efisien dan teratur.
Selain itu, dua pesawat Emirates didapati masih berada di kawasan parkir lapangan terbang tanpa sebarang pergerakan.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) semalam mengesahkan 26 penerbangan telah dibatalkan, masing-masing melibatkan 13 penerbangan berlepas dan 13 ketibaan iaitu perkhidmatan terpilih ke dan dari destinasi Timur Tengah yang terjejas, serta beberapa laluan jarak jauh yang memerlukan pelarasan ruang udara.
MAHB turut memaklumkan bahawa keadaan masih tidak menentu dan tertakluk kepada penilaian keselamatan ruang udara serta syarikat penerbangan, dengan kemungkinan berlaku pelarasan jadual penerbangan.
Penumpang yang transit atau melakukan perjalanan melalui kawasan terjejas dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan secara terus dengan syarikat penerbangan sebelum ke lapangan terbang, bagi mendapatkan maklumat terkini.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) semalam memaklumkan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Timur Tengah berkemungkinan menjejaskan operasi beberapa perkhidmatan penerbangan antarabangsa.
Menurut kenyataan CAAM, syarikat penerbangan yang beroperasi ke dan dari rantau yang terjejas mungkin berdepan kelewatan, penjadualan semula, perubahan laluan atau pembatalan susulan sekatan ruang udara yang sentiasa berubah dan pertimbangan operasi.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan siri serangan terhadap sasaran di Iran, termasuk Tehran pada Sabtu lepas.
Iran telah melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel serta kemudahan tentera AS di Timur Tengah.
Ribuan penerbangan di Timur Tengah telah dibatalkan manakala ruang udara di rantau itu turut ditutup.
Syarikat penerbangan utama termasuk Malaysia Airlines, Qatar Airways, Saudia dan beberapa syarikat penerbangan yang berpangkalan di Abu Dhabi telah menangguhkan atau membatalkan beberapa penerbangan sejak Sabtu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial