Ad Banner
 AM > BERITA

Buang Sampah Kecil: Lebih 1,000 Ditahan, Dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat - Nga

03/03/2026 05:24 PM

PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Lebih 1,000 individu ditahan dan dikenakan tindakan Perintah Khidmat Masyarakat di seluruh negara kerana kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam sejak awal tahun hingga kini. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) adalah berkesan dan memberi impak kepada kebersihan negara.

“Kita akan susun fasa ke fasa hukuman khidmat masyarakat. Saya nampak memang ada impak yang ketara dari segi kebersihan awam, kita bersyukur khususnya kerana tahun ini adalah Tahun Melawat Malaysia (VM2026),” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Nga berkata demikian kepada pemberita pada Program Ihya Ramadan-Islah MADANI: Memurni Jiwa Membangun Ummah bersama warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) akan dikuatkuasakan bermula 1 Jan 2026 sebagai hukuman untuk menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam.

KPKT memaklumkan pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat itu akan berkuat kuasa di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagi Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang tidak menggunakan Akta 672, pelaksanaan perintah berkenaan akan bermula secepat mungkin tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing.

Mengenai entiti tunggal pembersihan awam negara, Nga berkata KPKT akan melaksanakan reformasi pembersihan awam termasuk pembersihan waktu malam serta penukaran lori sampah kepada kenderaan elektrik (EV).

Pada majlis itu, Perdana Menteri bersama warga KPKT mendengar tazkirah bertajuk “Ramadan Membina Perpaduan dan Kasih Sayang” disampaikan oleh Muhd Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Haris dan menunaikan solat zohor berjemaah. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan