Ad Banner
 AM > BERITA

Garis Panduan Penyertaan Asing Ditambah Baik Ikut Amalan Terbaik

03/03/2026 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Usaha penambahbaikan Garis Panduan Penyertaan Asing dalam Sektor Perdagangan Pengedaran di Malaysia yang sedang dilaksanakan akan mengambil kira pandangan pemegang taruh dan amalan terbaik semasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu penting bagi memastikan dasar diguna pakai kekal relevan, berdaya saing dan berimpak tinggi, serta mengambil kira aspek kelestarian perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Jemaah Menteri pada 6 Feb lepas bersetuju menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas diketuai Kementerian Kewangan bagi memperincikan langkah penambahbaikan berkaitan.

Ad Banner
Ad Banner

“Fungsi jawatankuasa berkenaan adalah untuk mengenal pasti penambahbaikan dasar, kerangka perundangan, pemantauan dan penguatkuasaan dalam menangani kebimbangan risiko lambakan barangan asing dalam pasaran tempatan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan ketika sesi penggulungan kementeriannya berkata dokumen Permintaan Cadangan (RFP) bagi projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) akan dimuktamadkan dalam tahun ini bagi membolehkan projek itu dilaksanakan secara Perkongsian Awam-Swasta (PPP).

“Projek LPT3 akan dilaksanakan secara penswastaan melalui bidaan kompetitif RFP tanpa melibatkan peruntukan kewangan daripada kerajaan,” katanya.

Berdasarkan kajian awal, jajaran LPT3 bermula dari Kampung Gemuroh, Terengganu dan berakhir di Tunjong, Kelantan melibatkan jarak sepanjang 122 kilometer, sekali gus menjadi pelengkap kepada rangkaian lebuh raya LPT1 dan LPT2 dalam menyediakan laluan selesa di Pantai Timur.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Kesihatan berkata sebanyak 412 klinik kesihatan di seluruh negara kini telah dilengkapi dengan sistem pengkomputeran awan Clinical Management System (CCMS) bagi memperkukuh pengurusan rekod perubatan digital pesakit.

Beliau berkata untuk tahun ini, kementerian komited mendigitalkan 137 lagi klinik kesihatan, manakala baki 848 klinik disasarkan selesai sepenuhnya menjelang akhir 2027 bertujuan meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh tadbir urus data serta mengurangkan kebergantungan kepada rekod manual di fasiliti kesihatan primer.

Pelancaran sistem itu yang bermula pada 2024 merupakan sebahagian daripada pelan integrasi menyeluruh di bawah inisiatif Rekod Perubatan Digital (EMR).

Dalam perkembangan lain, Kementerian Sumber Manusia sedang meneliti cadangan untuk mendigitalkan sepenuhnya proses permohonan pekerja asing, selari dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 untuk mengehadkan jumlah pekerja asing kepada 10 peratus menjelang 2030 dan lima peratus menjelang 2035.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Khairul Firdaus Akbar Khan berkata kementerian akan terus mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi memastikan keseimbangan antara keperluan industri dan kedaulatan tenaga kerja tempatan.

Turut menggulung perbahasan hari ini ialah Kementerian Pertahanan.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan