Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lelaki Sarawak Terima MyKad Selepas Penantian 33 Tahun

04/03/2026 02:16 PM

Oleh Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Penantian 33 tahun seorang lelaki berketurunan Kenyah dari Sarawak, yang hidup tanpa kewarganegaraan berakhir apabila beliau menerima MyKad secara rasmi pada 29 Jan lepas.

Soliman Wan, 52, yang dilahirkan di Long Banga, Miri, terpaksa memegang status pemastautin sementara atau kad pengenalan hijau sejak berusia 12 tahun berpunca daripada status kerakyatan ibu bapanya yang tidak dapat ditentukan kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Ad Banner
Ad Banner

Ketika menerima MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, beliau mengakui seakan-akan tidak percaya selepas menghabiskan ribuan ringgit dan hampir berputus asa mencari jalan penyelesaian mengenai status kewarganegaraannya.

“Bila saya pergi ke JPN baru-baru ini, apabila saya baca surat itu, lima kali saya baca macam orang tak tahu membaca kerana berasa seolah-olah bermimpi.

“Sebelum ini, saya pernah terfikir akan meninggal dunia sebagai orang tanpa kewarganegaraan kerana sudah hilang harapan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sebuah gereja di Petaling Jaya hari ini.

Soliman yang bertugas sebagai seorang pastor di gereja itu sejak 25 tahun lepas berkata ibu bapanya tiada dokumen pengenalan diri berikutan faktor keluarga yang menetap di kawasan pedalaman, masalah pengangkutan dan kurangnya kesedaran tentang kepentingan dokumen berkenaan ketika itu.

Menyifatkan kelulusan permohonan itu sebagai satu keajaiban, Soliman merakamkan penghargaan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas keprihatinan meneliti permohonannya yang mula dikemukakan kepada JPN sejak 1993 dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1998.

Mengimbas pelbagai kesukaran yang dilalui meskipun memiliki sijil kelahiran, beliau berkata status tanpa kewarganegaraan mengekang pergerakannya untuk keluar dari Sarawak, selain berdepan kesukaran membuka akaun bank, halangan memperbaharui lesen memandu serta syarat tidak munasabah untuk mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Meskipun berdepan pelbagai kekangan sosial, beliau menzahirkan rasa syukur kepada Jabatan Imigresen Sarawak yang memberikan surat sokongan untuknya melanjutkan pelajaran dalam bidang biokimia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1994.

Soliman bertekad untuk membantu dan menjadi suara kepada individu tanpa kewarganegaraan yang lain, khususnya dalam kalangan komuniti pribumi Sarawak seperti Iban dan Kenyah bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri.

“Yang paling dekat adalah keluarga saya sendiri, tiga orang adik-beradik saya masih lagi tanpa kewarganegaraan dan ibu saya yang berusia 72 tahun baru saja menerima sijil lewat pendaftaran kelahiran tiga bulan lepas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan