Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Konflik Timur Tengah: Konsortium Agensi Umrah Bantu Urus Kepulangan Jemaah Terkandas

07/03/2026 01:08 AM

SEPANG, 6 Mac (Bernama) -- Tiga agensi pelancongan bergabung di bawah satu konsortium dikenali sebagai One Umrah bagi memudahkan urusan membawa pulang jemaah yang terkandas susulan penutupan sebahagian ruang udara di Timur Tengah akibat konflik antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.

Pengarah Safarbuddies Travel and Services Sdn Bhd Mohd Fadzrull Bakri berkata konsortium itu melibatkan Safarbuddies Travel and Services, UHR Travel dan Jawahir Travel and Tours, yang mempunyai peranan tersendiri dalam pengurusan jemaah.

Beliau berkata Safarbuddies bertanggungjawab mengendalikan operasi termasuk pengurusan di lapangan di Arab Saudi dan penempahan penerbangan manakala Aljawahir memfokus kepada pemasaran dan UHR Travel menyediakan bimbingan kepada jemaah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Bila jadi macam ini, kita gabungkan semua supaya jemaah tidak rasa terpinggir...kita gunakan satu nama, One Umrah, supaya semua urusan dapat diselaraskan,” katanya kepada Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini malam ini.

Mohd Fadzrull berkata kumpulan itu sepatutnya kembali ke Malaysia pada 2 Mac lepas namun penerbangan mereka terjejas susulan penutupan ruang udara sekali gus memaksa pihak agensi menyusun semula perjalanan pulang.

“Dari pagi kita sudah mula cari penerbangan ganti... mana yang ada kekosongan, kita cuba masukkan jemaah... sebenarnya, semalam sudah ada tiket untuk 4 Mac tetapi penerbangan Emirates dibatalkan pada saat akhir,” katanya.

Beliau berkata susulan itu, jemaah yang berada di Madinah terpaksa dipindahkan ke Jeddah sebelum berjaya menaiki penerbangan pulang malam tadi.

Seramai 25 jemaah bersama dengan seorang mutawif pulang ke tanah air malam ini manakala tiga lagi memilih untuk membeli tiket sendiri dan pulang menggunakan penerbangan berasingan.

Sementara itu, pesara pensyarah Universiti Putra Malaysia Abdul Rahman Ramli, 70, berkata keadaan sepanjang tempoh terkandas adalah terkawal dan para jemaah kekal tenang walaupun terpaksa melanjutkan tempoh berada di Arab Saudi.

“Kami semua tenang sahaja… sepanjang di hotel, cuma pindah bilik sahaja dan menunggu berita mengenai penerbangan... Alhamdulillah, akhirnya dapat juga pulang,” katanya.

Beliau berkata mereka sepatutnya pulang pada 2 Mac selepas menunaikan ibadah umrah selama 16 hari namun tempoh itu bertambah tiga hari akibat gangguan penerbangan.

Isterinya, Paridah Romly, 67, pesara guru, pula berkata walaupun perlu keluar masuk hotel beberapa kali sementara menunggu pengesahan penerbangan, semua urusan termasuk penginapan dan makanan diuruskan dengan baik oleh pihak agensi.

“Memang agak penat sebab kena keluar masuk hotel sementara tunggu penerbangan disahkan tetapi semuanya berjalan lancar, dan kami masih boleh beribadat seperti biasa,” katanya sambil menambah keadaan di Madinah ketika itu kekal stabil dan tenang walaupun konflik sedang berlaku di rantau berkenaan.

Terdahulu, kumpulan jemaah itu selamat tiba di KLIA Terminal 1 pada 10.09 malam dengan penerbangan Emirates EK342 selepas terkandas sejak 28 Feb lepas apabila beberapa negara menutup ruang udara masing-masing susulan konflik di Timur Tengah.

Difahamkan mereka kumpulan kedua yang berjaya pulang ke tanah air selepas tujuh hari penutupan ruang udara di rantau itu.

Gelombang serangan AS dan Israel ke atas Iran pada akhir bulan lepas serta serangan balas Tehran terhadap pangkalan tentera AS di rantau itu telah memaksa sebahagian besar ruang udara di Timur Tengah ditutup sekali gus menjejaskan penerbangan di seluruh dunia.

Sekurang-kurangnya lapan negara mengumumkan penutupan ruang udara masing-masing termasuk Iran, Iraq, Jordan, Qatar, Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan