Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

70,122 Talian Prabayar Disalahgunakan Ditamatkan Pada 2025 – Teo

07/03/2026 08:19 PM

KULAI, 7 Mac (Bernama) -- Sebanyak 70,122 talian kad SIM prabayar yang disyaki disalahgunakan untuk menghantar mesej mencurigakan telah ditamatkan pada 2025, meningkat hampir 10 kali ganda berbanding 7,409 talian pada 2024.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata peningkatan itu menunjukkan penyalahgunaan talian kad SIM prabayar masih berleluasa dan memerlukan kawal selia lebih ketat.

“Apabila kita mendapati semakin banyak talian disalahgunakan, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengemas kini garis panduan bagi pembelian dan pendaftaran kad SIM prabayar,” katanya ketika ditemui selepas program Kempen Internet Selamat di Bazar Ramadan Temenggong Kulai, di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata antara langkah baharu yang diambil ialah mengehadkan pembelian kad SIM prabayar oleh pelancong asing kepada dua kad bagi setiap syarikat telekomunikasi, berbanding lima sebelum ini.

Selain itu, semua kad SIM prabayar yang didaftarkan oleh pelancong akan ditamatkan secara automatik selepas tiga bulan bagi mengurangkan risiko disalahgunakan untuk aktiviti penipuan.

Teo berkata pendaftaran kad SIM perlu menggunakan dokumen pengenalan asal seperti kad pengenalan atau pasport, selain boleh menggunakan MyDigital ID atau pengesahan biometrik.

Langkah itu juga, katanya, mengekang amalan segelintir pengedar menggunakan fotokopi dokumen untuk mendaftarkan kad SIM tanpa kehadiran pemilik sebenar.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana syarikat telekomunikasi atau pengedar yang gagal mematuhi garis panduan ditetapkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan