Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pemimpin Melayu Sentiasa Perjuangkan Kepentingan Melayu, Bumiputera  - AMK

11/03/2026 11:40 AM

IPOH, 11 Mac (Bernama) -- Semua pemimpin Melayu sentiasa mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini meskipun berbeza dari segi pendekatan politik dan politik kepartian, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau berkata perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan seperti kedudukan Islam, bahasa Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu juga sentiasa diperjuangkan semua pemimpin Melayu tanpa mengira parti.

“Tiada isu dalam kalangan masyarakat Melayu mengenai kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, status bahasa Melayu, institusi Raja-Raja Melayu dan hak istimewa Melayu serta Bumiputera.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Mana-mana pemimpin Melayu, tidak kira parti mana apabila berdepan isu ini, kita akan terus mempertahankannya malah kedudukan bahasa Melayu juga terus dipelihara dan kini diberi pengiktirafan lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Aspresiasi Barisan Hadapan Santuni Wira MADANI (Edaran Juadah Sahur) dan Singgah Sahur Bersama Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Beliau mengulas inisiatif Rumah Bangsa yang diumumkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli parti dipecat dan digantung keahlian untuk kembali kepada UMNO tanpa syarat.

Muhammad Kamil berkata walaupun terdapat perbezaan pandangan politik, ia tidak bermakna kesatuan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini semakin terhakis. 

"Apa saya nampak perbezaan wujud hanyalah dari segi pendekatan politik yang diambil oleh pemimpin atau parti tertentu.

“Ada yang memilih jalur pendekatan lebih keras, manakala sebahagian lain melihat negara ini majoritinya orang Melayu tetapi turut mempunyai kaum dan etnik lain. Jadi harus ada kebijaksanaan dalam mengurus serta mengawal beberapa isu terutamanya melibatkan isu sensitif,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu berkata gagasan perpaduan yang dibincangkan pemimpin politik hari ini bukan perkara baharu kerana konsep tersebut telah lebih awal disarankan oleh bekas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang pernah mencadangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan melibatkan semua parti politik.

“Jadi saya fikir ini mungkin lanjutan daripada usaha tersebut, jadi tidak ada masalah atau halangan untuk kita terus berbincang dan bermusyawarah mengenai perkara-perkara tertentu.

Terdahulu, Muhammad Kamil menyempurnakan penyerahan 400 pek makanan kepada petugas barisan hadapan di balai bomba, balai polis serta hospital pada program berkenaan.

Program Santuni Wira MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dianjurkan sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan