Oleh Norhayati Mohd Akhir
PUTRAJAYA, 18 Mac (Bernama) -- Mengasingkan sisa makanan daripada bekas plastik dan membersihkannya sebelum dibuang adalah antara langkah paling asas namun sering diabaikan dalam amalan kitar semula.
Ketua Penolong Setiausaha (Unit Ekonomi Kitaran) Seksyen Pengurusan Sumber Alam Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Mohd Husaini Saidi berkata ramai pengguna masih beranggapan semua plastik boleh terus dikitar semula tanpa perlu mengasingkan atau membersihkannya terlebih dahulu.
Beliau berkata bekas plastik yang bercampur dengan sisa makanan atau minuman lazimnya tidak dapat diproses semula dan akhirnya dihantar ke tapak pelupusan sampah.
Mohd Husaini berkata bahan plastik yang ingin dikitar semula sebaiknya dibilas atau dibersihkan secara ringkas bagi memastikan ia tidak tercemar dengan sisa makanan.
“Jika plastik kotor atau bercampur dengan sisa makanan, ia akan menjejaskan proses kitar semula... sebab itu, kita galakkan masyarakat asingkan sisa makanan dan plastik dengan memasukkannya ke dalam plastik sampah berasingan.
"Langkah mudah ini amat penting terutama ketika musim perayaan seperti Aidilfitri yang biasanya menyaksikan peningkatan penggunaan bekas makanan, plastik dan bahan pakai buang," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata pengguna juga digalakkan memeriksa simbol kitar semula pada bahagian bawah atau belakang produk plastik sebelum membelinya.
"Simbol tersebut biasanya disertakan dengan nombor tertentu yang menunjukkan jenis plastik dan kesesuaiannya untuk dikitar semula," katanya sambil menambah bukan semua jenis plastik mudah diproses semula terutama bahan mudah tercemar seperti bekas polistirena yang sering digunakan untuk makanan.
Mohd Husaini juga berkata kempen “Hindari Plastik Sekali Guna” yang diperkasa dengan tema “Bijak Plastik Selamat Bumi” dilaksana bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan plastik secara lebih bertanggungjawab.
"Pendekatan kempen ini memberi tumpuan kepada dua perkara utama, iaitu mengurangkan penggunaan plastik yang bermasalah dan meningkatkan amalan kitar semula," katanya.
Beliau berkata plastik sebenarnya mempunyai pelbagai kegunaan dan bukan semua bermasalah justeru, masyarakat perlu menggunakan ia secara bijak serta mengurangkan penggunaan yang tidak diperlukan.
"Antara yang wajar dielakkan ialah beg plastik jinjit, pinggan pakai buang dan cawan polisterin yang sering digunakan dalam majlis atau rumah terbuka kerana bahan itu menyumbang kepada peningkatan sisa plastik," katanya.
Sebagai alternatif, Mohd Husaini menggalakkan orang ramai menggunakan pinggan dan cawan guna semula serta membawa beg sendiri ketika membeli barangan untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
"Usaha ini selaras dengan pendekatan ekonomi kitaran yang digerakkan oleh kerajaan bagi mengurangkan sisa plastik di Malaysia dan menggalakkan penggunaan sumber secara lebih lestari," katanya.
Beliau berkata plastik kini adalah sisa kedua tertinggi di Malaysia selepas makanan dan mengambil masa yang sangat lama untuk terurai jika tidak diurus dengan baik.
Mohd Husaini berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam atau NRES turut menggalakkan pengasingan sisa makanan untuk diproses melalui kaedah kompos yang boleh dijadikan sebagai baja tanaman.
“NRES turut memperoleh kelulusan Kementerian Kewangan untuk memberikan pengecualian cukai pendapatan bagi pembelian mesin kompos sebagai langkah menggalakkan pengurusan sisa makanan secara lebih mampan di negara ini,” katanya.
Plastik dianggarkan menyumbang sekitar 13 hingga 15 peratus daripada jumlah sisa pepejal Malaysia berdasarkan kajian komposisi sisa oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam tempoh 2022 hingga 2024 sekali gus menjadikan ia komponen kedua tertinggi selepas makanan.
Pada 2024, Malaysia menjana kira-kira 39,000 tan sisa pepejal sehari, dan jumlah sisa plastik dianggarkan mencecah antara 5,000 hingga 6,000 tan sehari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial