Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sistem Hibrid Solar-Mikro Hidro UTHM Berpotensi Sokong Bekalan Elektrik Orang Asli Kampung Peta

18/03/2026 05:55 PM

MERSING, 18 Mac (Bernama) -- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berhasrat memperluas penggunaan Sistem Hibrid Solar-Mikro Hidro kepada komuniti Orang Asli di Kampung Peta di sini sebagai sumber alternatif bekalan elektrik yang lebih stabil dan lestari.

Naib Canselor UTHM Prof Dr Mas Fawzi Mohd Ali berkata sistem yang dibangunkan dengan kerjasama Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) di Taman Negara Johor Endau-Rompin (Peta) itu telah beroperasi sejak 2013 serta menjadi sumber utama bekalan elektrik kepada Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Alam (NERC) di sini.

“Tumpuan sekarang adalah memastikan sistem di NERC dan kemudahan PTNJ stabil terlebih dahulu sebelum diperluas kepada komuniti,” katanya kepada Bernama pada Ekspedisi Lawatan Kerja Lapangan Program Edutourism UTHM-PTNJ di NERC Taman Negara Endau-Rompin di sini baru-baru ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Program berkenaan bertujuan meneroka, memperkukuh serta merangka kerjasama strategik dalam pembangunan program edutourism UTHM melalui penubuhan dan pengoperasian Living Lab @ NERC yang turut menampilkan Sistem Hibrid Solar-Mikro Hidro sebagai tarikan utama edutourism berimpak tinggi.

Beliau berkata usaha menaik taraf sistem penjanaan elektrik giat dijalankan susulan kerosakan akibat banjir besar 2023, dengan kapasiti semasa kira-kira 15 kilowatt (kW).

Mas Fawzi berkata sistem berkenaan bukan sahaja lebih lestari, tetapi juga mampu mengurangkan kos operasi berbanding penggunaan jana kuasa diesel.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Kumpulan Fokus Ecohydro UTHM Dr Izat Yahya berkata sistem berkenaan menggunakan sumber air dari Sungai Semawak yang terletak kira-kira 800 meter dari lokasi turbin di NERC.

Beliau berkata selepas dibaik pulih susulan banjir 2023, sistem itu kini membekalkan elektrik kepada pelbagai kemudahan termasuk surau, chalet, makmal, dewan dan asrama.

“Cabaran utama adalah musim kemarau apabila paras air menurun, justeru usaha sedang dijalankan untuk menambah baik empangan mini serta sistem simpanan tenaga,” katanya.

Mas Fawzi berkata sistem itu berpotensi diperluas ke kawasan pedalaman dan pulau yang masih bergantung sepenuhnya kepada set generator sebagai sumber elektrik.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Peta, Aslan Ali, 32, berharap hasrat untuk memperluas penggunaan sistem hibrid solar berkenaan ke kampung mereka dapat direalisasikan. 

Beliau berkata lebih 900 penduduk kampung masih bergantung kepada set jana kuasa diesel dan sistem solar yang dibekalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan biasanya bekalan elektrik sedia ada tidak stabil kerana kapasiti terhad serta dipengaruhi faktor cuaca.

“Sekiranya ada sumber alternatif ini, sekurang-kurangnya kami mempunyai pilihan selain sebagai sumber tambahan untuk kegunaan harian,” katanya dan menambah pada masa ini penduduk hanya menggunakan peralatan asas seperti lampu dan peti sejuk.

Penggunaan peralatan berkuasa tinggi seperti penyaman udara, katanya boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada seluruh kampung.

Seorang penduduk, Aming Akap, 78, berkata penggunaan elektrik terutama pada waktu malam perlu dihadkan bagi mengelak bekalan menjadi lemah.

“Kalau guna banyak pada waktu malam, lampu jadi malap atau terus padam, manakala penggunaan generator pula melibatkan kos yang tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan