Ad Banner
 AM > BERITA

Sambut Aidilfitri Secara Sederhana, Peka Nasib Golongan Menderita - Anwar

20/03/2026 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar menyambut Aidilfitri secara sederhana, selain lebih peka terhadap nasib golongan yang menderita ketika dunia berdepan kemelut geopolitik, khususnya di Asia Barat.

Beliau berkata Malaysia tidak terkecuali menerima tempias konflik di rantau berkenaan susulan serangan rejim Zionis Israel dengan dukungan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, yang kesannya turut merebak ke negara jiran.

Anwar berkata Malaysia perlu lebih berwaspada kerana peperangan itu pastinya memberi impak dari segi harga minyak, harga barang, kos sara hidup dan tekanan terhadap ekonomi negara.

Ad Banner
Ad Banner

“Jadi, sebab itulah sementara kerajaan akan berusaha sedaya upaya meringankan rakyat dari beban yang bakal ditimpa. Kita juga bertanggungjawab untuk kembali menjiwai roh Ramadan dan semangat membela nasib rakyat miskin,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Aidilfitri 2026 yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen tempatan, malam ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau yakin dengan persiapan dan perancangan yang rapi, negara kekal optimis terhadap kedudukan ekonomi yang dicapai, terutama dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kerajaan MADANI akan terus berusaha mempertahankan dan mengukuhkan kedudukan ini tatkala cabaran semakin meningkat,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan Ramadan merupakan madrasah yang membentuk keperibadian melalui akhlak dan adab, hasil daripada ibadah yang dilaksanakan sepanjang bulan mulia itu.

Beliau berkata nilai dan semangat yang dibentuk daripada tarbiah Ramadan perlu diteruskan bagi memperkukuh kekuatan dalaman umat Islam, yang menjadi prasyarat penting untuk Malaysia bergerak lebih pantas dan yakin ke hadapan.

“Objektif puasa atau Maqasid al-Sawm yang dihuraikan ulama terkemuka, Imam al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam, mengandungi hikmah dan matlamat untuk menjadikan madrasah Ramadan sebagai asas kekuatan dalam membina peribadi serta membebaskan diri daripada belenggu nafsu melalui perjuangan rohaniah berterusan sebagai satu bentuk mujahadah,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya terus mempertahankan perpaduan dan keharmonian dalam menghadapi pelbagai pandangan, pendirian serta ujian dunia masa kini, sambil menegaskan bahawa kekuatan negara terletak pada kebulatan tekad, kesatuan hati, wahdatul fikr dan wahdatul amal.

Beliau berkata negara ini dibina atas asas kepelbagaian. Justeru, tradisi seperti ucapan selamat, mengeratkan silaturahim dan rumah terbuka ketika Aidilfitri yang disambut semua kaum perlu terus diperkukuh.

“Pada hari kemenangan ini, marilah kita bulatkan tekad merealisasikan agenda Malaysia MADANI sebagai landasan mengangkat martabat insan, menegakkan keadilan, mempertahankan prinsip kebenaran, serta memastikan kemakmuran dirasai bersama dan keselamatan negara terjamin.”

Perdana Menteri turut menyeru umat Islam meraikan Aidilfitri mengikut tradisi agama serta budaya masyarakat Melayu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan