Ad Banner
 AM > BERITA

Penggiat Industri Pelancongan Diseru Kekal Rasional, Berhemat - Tiong

27/03/2026 06:26 PM

PUTRAJAYA, 27 Mac (Bernama) -- Penggiat industri pelancongan diseru kekal rasional dan berhemat dengan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga atau memindahkan kos tidak wajar sehingga menambah beban rakyat serta pasaran.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata beliau telah mengarahkan sesi libat urus menyeluruh bersama pemain industri pelancongan, termasuk daripada sektor pengangkutan pelancongan diadakan segera bagi mengumpul maklumat dan mendapatkan maklum balas industri.

“Ini bertujuan memahami dengan lebih mendalam situasi sebenar yang sedang dihadapi penggiat industri, termasuk tekanan kos, kesan terhadap operasi dan potensi kerugian agar setiap langkah yang dirangka benar-benar memenuhi keperluan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini sebagai maklum balas kepada tekanan yang dihadapi industri pelancongan negara susulan konflik global.

Ad Banner
Ad Banner

Tiong berkata pihaknya juga giat mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mengkaji langkah penyelesaian paling sesuai bagi membantu industri mengharungi cabaran semasa dengan lebih lancar.

“MOF turut menyatakan sokongan terhadap usaha penyelarasan yang dijalankan dan akan menilai tahap keseluruhan impak dan skop yang terlibat berdasarkan data serta maklumat yang dikemukakan oleh pihak industri, bagi membolehkan penyelesaian yang lebih bersasar dirangka,” katanya.

Katanya kerajaan sentiasa meletakkan kesejahteraan rakyat dan kestabilan industri sebagai keutamaan dengan segala langkah berkaitan akan diperkenalkan secara berperingkat selepas penilaian menyeluruh serta pertimbangan yang teliti, bagi memastikan kelangsungan operasi industri di samping mengekalkan pembangunan ekonomi negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan