Ad Banner
 AM > BERITA

Dakwaan Ceroboh Semasa Liputan: MMM Pandang Serius Penangkapan Wartawan

31/03/2026 12:48 AM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Majlis Media Malaysia (MMM) menegaskan proses siasatan melibatkan seorang wartawan berhubung dakwaan menceroboh masuk ke tapak pembinaan kilang di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kulim perlu dijalankan secara telus, profesional serta menghormati hak wartawan untuk menjalankan tugas tanpa gangguan atau tekanan tidak wajar.

MMM dalam kenyataan malam ini memaklumkan sebarang tindakan terhadap wartawan mesti dinilai secara ketat berdasarkan prinsip keperluan serta kesepadanan dan adalah penting untuk membezakan dengan jelas antara pelanggaran undang-undang yang sebenar dan aktiviti kewartawanan yang sah.

“MMM menegaskan bahawa dalam banyak keadaan, kerja kewartawanan termasuk berada di lokasi kejadian, membuat pemerhatian dan mendapatkan maklumat adalah sebahagian daripada fungsi sah media dalam melaporkan isu kepentingan awam.

Ad Banner
Ad Banner

“Oleh itu, tafsiran “menceroboh” dalam konteks kerja liputan perlu diperjelaskan secara teliti agar tidak menjenayahkan tugas wartawan,” menurut kenyataan itu dan MMM menambah pihaknya akan terus memantau perkembangan kes tersebut.

MMM memaklumkan kes berkenaan turut menimbulkan persoalan lebih luas mengenai ruang akses wartawan ke lokasi dan peristiwa berkepentingan awam serta keperluan garis panduan yang jelas antara pihak berkuasa dan pengamal media.

Media sebelum ini melaporkan seorang wartawan portal berita Tamil, Thinathanti, Kalidas Subramaniom ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim berhubung dakwaan menceroboh ketika membuat liputan berkaitan pendatang tanpa izin.

 Polis mengesahkan menahan 10 lelaki termasuk seorang wartawan portal bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menceroboh masuk ke tapak pembinaan kilang itu pada Rabu lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan