Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Peningkatan Kos, Perkhidmatan Feri Labuan-Kota Kinabalu Digantung Sementara

02/04/2026 12:43 PM

LABUAN, 2 April (Bernama) -- Perkhidmatan feri ekspres Labuan-Kota Kinabalu-Labuan digantung sementara berkuat kuasa minggu lepas susulan peningkatan kos bahan api dan caj pendaratan yang tinggi di terminal jeti Jesselton di Kota Kinabalu.

LDA Holdings Sdn Bhd, syarikat pengurusan bagi Terminal Feri Antarabangsa Labuan, memaklumkan keputusan itu dibuat selepas kos operasi menjadi semakin tidak berdaya maju bagi pengendali feri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Noor Halim Zaini berkata perkhidmatan tersebut yang disambung semula hampir setahun lalu selepas terhenti akibat pandemik COVID-19, menawarkan pilihan perjalanan terus dan lebih mudah antara Labuan dan Kota Kinabalu tanpa perlu transit melalui Menumbok.

Ad Banner
Ad Banner

“Perkhidmatan feri ini telah memberi manfaat besar kepada penumpang dengan menawarkan laluan terus antara Labuan dan Kota Kinabalu serta sebaliknya, selain menyumbang kepada peningkatan pergerakan pelawat antara kedua-dua destinasi,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Beliau berkata semasa pengoperasian semula perkhidmatan tersebut, Jabatan Wilayah Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi pembinaan kemudahaan pontun untuk membolehkan pendaratan feri serta memudahkan proses naik dan turun penumpang. 

Walau bagaimanapun, Noor Halim berkata peningkatan mendadak kos bahan api, ditambah dengan caj pendaratan yang tinggi di terminal jeti Jesselton telah memberi tekanan kewangan yang ketara kepada pengendali feri. 

Beliau berkata walaupun penumpang warga Malaysia menikmati subsidi 50 peratus bagi tambang feri, tiada subsidi yang sepadan untuk bahan api, sekali gus meningkatkan cabaran operasi.

“Kami berharap kerajaan akan melihat isu ini kerana ia bukan sahaja menjejaskan pengendali feri tetapi juga memberi implikasi kepada pengembara dan sektor pelancongan,” katanya.

Pengantungan perkhidmatan feri tersebut dijangka memberi kesan kepada aliran pelancongan dan perhubungan antara Labuan dan ibu negeri Sabah itu, khususnya bagi pengembara yang memilih laluan laut secara terus.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan