KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Sesi libat urus bersama dengan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah selesai dilaksanakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata hasil cadangan menerusi sesi itu akan dibawa ke peringkat kedua Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat pada 9 April ini untuk dibincangkan.
"Mereka bagi pandangan untuk membuat pindaan pada draf asal... itu pandangan NGO dan pertubuhan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) di sini hari ini.
Azalina berkata beliau amat terbuka terhadap semua pandangan dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerimanya.
“Namun, kita mengamalkan prinsip demokrasi… yang penting dalam proses bermusyawarah ini, kita mencapai persetujuan bersama,” katanya.
Sebelum ini, beliau berkata Kerajaan MADANI bersetuju RUU berkenaan dan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri dibentang semula pada sidang Parlimen akan datang.
Pada 3 Mac lepas, Dewan Rakyat bersetuju RUU berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, yang dianggotai Azalina sendiri sebagai Pengerusi serta 11 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang, untuk memberi ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalusi dan menelitinya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial