KUALA NERUS, 6 April (Bernama) -- Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HoSZA) melakar satu lagi pencapaian penting apabila menjadi hospital pengajar universiti awam pertama yang memiliki Unit Perubatan Hiperbarik.
Unit Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan HoSZA menerusi kenyataan memaklumkan unit yang dilengkapi kebuk hiperbarik pelbagai pesakit itu mula beroperasi secara rasmi pada 15 Mac lepas dan boleh memuatkan tujuh pesakit pada satu masa.
Menurut kenyataan itu, antara rawatan yang ditawarkan termasuk rawatan luka kronik seperti ulser kaki diabetes, penyakit berkaitan penyelaman, embolisme udara atau gas, gangren gas serta jangkitan tisu lembut nekrotik.
“Perkhidmatan perubatan hiperbarik ialah satu bentuk rawatan yang menggunakan oksigen tulen pada tekanan tinggi bagi membantu meningkatkan proses penyembuhan tisu, melawan jangkitan serta mempercepat fasa pemulihan bagi beberapa keadaan perubatan.
“Pengoperasian ini dijangka memberi manfaat besar kepada pesakit di Terengganu dan Pantai Timur, sekali gus mengurangkan keperluan rujukan pesakit ke pusat rawatan lain untuk perkhidmatan hiperbarik,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan selain memperluas akses pesakit kepada rawatan berteknologi tinggi, kewujudan Unit Perubatan Hiperbarik juga menyokong peranan HoSZA dalam memperkasa latihan klinikal, penyelidikan perubatan serta pembangunan kepakaran dalam kalangan hospital pengajar di negara ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial