KOTA KINABALU, 6 April (Bernama) -- Sabah bakal memiliki sebuah hospital jantung bertaraf dunia di Likas menerusi kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah dan IJN Sdn Bhd di tapak seluas empat hektar yang telah diwartakan khusus bagi tujuan berkenaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata kerjasama antara agensi itu dijangka merealisasikan penubuhan dan pengembangan pusat rawatan jantung di negeri itu.
“Usaha ini diharapkan menjadi kenyataan dan memperkasakan akses perkhidmatan kesihatan jantung di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembangunan Hospital IJN Sabah antara kedua-dua agensi, di sini hari ini.
Kumpulan Yayasan Sabah diwakili Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar dan Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd Datuk Jasnih Daya, manakala Ketua Pegawai Eksekutif IJN Group Sdn Bhd Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib serta Ketua Pegawai Klinikal Datuk Dr Saiful Azmi Yahaya mewakili IJN.
Turut dimeterai pada majlis itu ialah MoU antara Universiti Kolej Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Universiti IJN bagi kerjasama dalam pendidikan kesihatan.
Sementara itu, Pengerusi IJN Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika berucap berkata pemeteraian MoU itu mencerminkan langkah strategik ke hadapan dalam memperkasakan perkhidmatan kesihatan serta pembangunan modal insan di Sabah.
“Dalam memastikan keberkesanan sistem kesihatan negara, kita perlu bergerak melampaui pendekatan berpusat. Akses kepada rawatan berkualiti tinggi perlu diperluas agar dapat dinikmati secara lebih menyeluruh tanpa mengira lokasi geografi.
“Sehubungan dengan itu, kerjasama strategik ini satu langkah penting ke arah merealisasikan visi berkenaan, iaitu memperluas kepakaran dan perkhidmatan kardiovaskular ke Sabah melalui pendekatan lebih menyeluruh serta mampan.
“Apa yang ingin dibina bukan sekadar fasiliti rawatan tetapi sebuah ekosistem kesihatan bersepadu merangkumi rawatan klinikal, latihan profesional, penyelidikan dan pembangunan kepakaran setempat,” katanya.
Noor Hisham berkata IJN juga komited untuk berkongsi kepakaran dalam aspek rawatan, teknologi, sistem klinikal dan pengurusan hospital bagi memastikan perkhidmatan bakal dibangunkan mencapai standard kualiti tinggi serta berorientasikan keselamatan pesakit.
“Saya juga melihat kerjasama ini sebagai satu peluang penting untuk memperkukuh pembangunan tenaga kerja kesihatan.
“Kolaborasi antara UCSF dan IJN University College membuka ruang dan peluang kepada pertukaran ilmu, latihan klinikal serta pembangunan program akademik yang relevan dengan keperluan semasa industri kesihatan,” katanya
Noor Hisham berkata usaha ini amat penting kerana kelestarian sistem kesihatan tidak hanya bergantung pada infrastruktur tetapi juga kepada ketersediaan tenaga kerja kompeten, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran kesihatan pada masa akan datang.
Bagi Jasnih, pembinaan hospital IJN di Sabah ialah satu langkah strategik yang diyakini akan membawa pelbagai manfaat kepada rakyat, selain menyokong Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II, yang kini mempunyai kapasiti terhad berbanding keperluan sebenar rakyat negeri ini.
“Dengan adanya hospital jantung bertaraf tinggi di Sabah, pesakit tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada kemudahan di luar negeri, sekali gus dapat mengurangkan beban kos perjalanan serta mempercepat akses kepada rawatan pakar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial