KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Kerajaan menerusi Jawatankuasa Khas di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan meneliti sebarang isu berbangkit mengenai sektor, khususnya sektor digital yang mungkin terkesan akibat konflik di Asia Barat.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata mesyuarat mingguan MTEN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan menilai potensi kesan konflik selain merangka langkah penyelesaian yang sesuai.
"Kita akan lihat (meneliti) isu ini dengan lebih mendalam, tentusahkan dan pastikan langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan bahawa kita sudah bersedia sekiranya berlaku sebarang perkara yang perlu diuruskan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Standard Chartered Global Fusion Centre di sini, hari ini.
Terdahulu ketika berucap, Gobind berkata mesyuarat itu akan menghimpunkan kementerian-kementerian utama dan pihak berkepentingan industri bagi menyelaras tindak balas serta memperkukuh daya tahan ekonomi serta memastikan kelangsungan hidup rakyat dan peniagaan dalam memastikan negara turut dipelihara.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan juga kekal komited terhadap kestabilan, sikap berwaspada serta libat urus yang konstruktif sambil memelihara kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Standard Chartered melancarkan Global Fusion Centre pertamanya di Malaysia untuk mengukuhkan lagi status negara sebagai ekosistem bakat yang kukuh serta hab teknologi strategik utama bagi kumpulan itu.
Menerusi kenyataannya, bank itu menyatakan pusat yang terletak di hab Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS), menyepadukan aspek analisis masa nyata serta sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan data tahan operasi selain mengukuhkan kepercayaan digital dalam kalangan pihak yang berkepentingan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial