Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Amal Prinsip SBT, Elak Penyebaran Berita Palsu - Pakar

15/06/2026 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Masyarakat di negara ini disaran mengamalkan prinsip SBT, iaitu menilai sumber, mencari bukti sahih dan memahami tujuan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya bagi mengelakkan penularan berita palsu dalam era digital.

Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Madya Dr Sofia Hayati Yusoff berkata amalan itu penting kerana penyebaran maklumat kini tidak lagi terhad kepada media arus perdana, sebaliknya turut dipacu pelbagai platform media alternatif.

Beliau berkata manusia secara semula jadi lebih tertarik kepada perkara yang sensasi dan lebih mudah berkongsi kandungan berunsur negatif.

Ad Banner
Ad Banner

“Kecenderungan itu sering dimanipulasi oleh penyedia kandungan dan platform media alternatif untuk meningkatkan interaksi, mengejar umpan klik serta tuntutan algoritma kecerdasan buatan (AI) berbanding menyampaikan maklumat yang sahih dan seimbang.

“Sehubungan dengan itu, rakyat perlu menjadi pengguna yang bijak dengan menyemak sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya menerusi platform media sosial,” katanya semasa menjadi tetamu Program Apa Khabar Malaysia bertajuk “Media: Antara Fakta atau Batu Api” terbitan Bernama TV hari ini.

Sofia Hayati turut mencadangkan penggunaan model tapisan THINK untuk menilai sama ada sesuatu maklumat itu benar (true), membantu (helpful), memberi inspirasi (inspiring), diperlukan (necessary) dan beradab (kind).

“Sebelum berkongsi berita, masyarakat perlu memastikan sejauh mana berita itu benar, memberi bantuan dalam membangunkan nilai-nilai murni dan memberi manfaat tinggi kepada masyarakat serta sejauh mana berita itu perlu dikongsi atau ditularkan dan sejauh mana kandungan berita itu penuh adab.

“Kalau maklumat itu melepasi setiap pintu, kita boleh kongsikan. Tapi, jika berita itu gagal melepasi mana-mana pintu ujian ini, maka berita atau maklumat itu tidak boleh dikongsi melalui mana-mana platform,” katanya.

Sofia Hayati berkata kegagalan menapis maklumat boleh menyebabkan lambakan berita negatif dan maklumat palsu yang berpotensi mencetuskan kebencian, merendahkan tahap kepercayaan dan memecahbelahkan masyarakat.

Beliau berkata statistik menunjukkan lebih 85 peratus rakyat di negara ini mempunyai akaun media sosial manakala lebih 95 peratus pengguna Internet, sekali gus menjadikan literasi digital semakin kritikal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan