KOTA KINABALU, 6 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah menghormati keputusan Mahkamah Rayuan, yang membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan bagi penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi untuk menyemak geran khas serta mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari bagi pembayaran hak Sabah sebanyak 40 peratus sementara menunggu rayuan.
“Walaupun prosiding mahkamah sedang berjalan, adalah diharapkan rundingan akan diteruskan dengan niat baik ke arah mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, perintah penangguhan yang diberikan adalah bersifat prosedural dan mengekalkan status quo sehingga rayuan kerajaan Persekutuan didengar.
“Ia tidak mengetepikan Perintah Mahkamah Tinggi sedia ada. Walaupun perintah Mahkamah Tinggi untuk mengadakan semakan adalah bagi Tempoh Terlepas (1974 2021), ia tidak seharusnya menghalang semakan bagi tahun-tahun semasa memandangkan kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan formula 40 peratus serta keperluan untuk mengadakan semakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketua Menteri itu mengulangi pendirian kerajaan negeri yang membantah penangguhan Perintah Mahkamah Tinggi tersebut, namun menegaskan bahawa kerajaan tetap menghormati keputusan terbaharu mahkamah.
“Ini adalah satu proses yang sedang berjalan dan kerajaan negeri akan terus berbincang serta mencari penyelesaian,” tegas beliau.
Hajiji berkata kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 berhubung hak perlembagaan Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjanji untuk menghormatinya.
Tarikh tentafif bagi pendengaran rayuan kerajaan Persekutuan adalah antara 27 hingga 30 Okt 2026 dan satu e-Review ditetapkan pada 13 April 2026 bagi mengesahkan tarikh sebenar pendengaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial