PUTRAJAYA,7 April (Bernama) -- Status perairan umum di Semenanjung Malaysia kekal selamat dan bebas daripada jangkitan Koi Herpesvirus (KHV), meskipun terdapat kes dilaporkan di beberapa kawasan di Sabah, menurut Jabatan Perikanan (DOF).
Ketua Pengarah DOF Datuk Adnan Hussain turut mengesahkan bahawa melalui pelaksanaan berterusan Program Survelan Kesihatan Ikan Nasional, tiada penularan KHV dikesan di sungai dan tasik di Semenanjung.
“Data turut menunjukkan penurunan kes di ladang ikan koi swasta daripada tujuh kes pada tahun 2022 kepada tiga kes pada 2025, dengan kesemua kejadian berjaya dikawal sepenuhnya tanpa merebak ke perairan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, DOF akan terus memperkukuh langkah kawalan melalui pelaksanaan pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun ke atas ladang spesies Cyprinidae, iaitu kawasan penternakan atau akuakultur khusus bagi kumpulan ikan air tawar terbesar itu.
“DOF juga akan memperketat kawalan kemasukan di pintu masuk negara dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), dan meningkatkan pemantauan serta kesiapsiagaan tindak balas pantas terhadap sebarang kejadian luar biasa,” katanya.
Terbaharu, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah mengarahkan penangkapan dan pemusnahan segera semua ikan koi, dan spesies Cyprinidae yang bukan endemik kepada Sabah dari kawasan tagal atau pemeliharaan ikan dan sungai di negeri itu.
Menterinya Datuk Jamawi Jaafar dilaporkan berkata tindakan itu diambil selepas virus dibawa spesies ikan berkenaan, dan KHV disahkan sebagai punca utama kematian ikan pelian atau kelah yang dilaporkan di beberapa daerah di Sabah sejak 1 Ogos 2025.
Beliau berkata situasi di Sabah menjadi peringatan jelas bahawa ancaman penyakit ikan boleh berlaku pada bila-bila masa, dan semua pihak tidak boleh leka dalam aspek biosekuriti serta menegaskan keperluan berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dengan mematuhi protokol kuarantin dan pengurusan ladang tanpa kompromi.
“Memandangkan KHV tidak mempunyai rawatan atau vaksin, tindakan pelupusan segera terhadap ikan yang dijangkiti adalah langkah paling berkesan bagi memutuskan rantaian jangkitan, dan mengelakkan penularan yang lebih luas,” katanya.
Selain itu, katanya sebarang tindakan melepaskan ikan berpenyakit atau menyalurkan air tercemar ke sistem saliran awam adalah tidak bertanggungjawab, dan boleh memberikan kesan serius terhadap kelangsungan spesies ikan tempatan seperti kelah dan lampam serta menjejaskan keseimbangan ekosistem perairan negara.
DOF turut menyeru semua pengusaha dan orang awam agar segera melaporkan sebarang kejadian kematian ikan luar biasa kepada pejabat perikanan berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial