Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerjasama Strategik Kerajaan Negeri, Jabatan Pendidikan Perkasa Sektor Pendidikan Sabah

07/04/2026 03:15 PM

KOTA KINABALU, 7 April (Bernama) -- Kerjasama strategik dan berterusan antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Jabatan Pendidikan negeri amat penting bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif pendidikan dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata hubungan erat antara kedua-dua pihak tersebut merupakan kunci utama dalam memacu kecemerlangan anak-anak Sabah pada masa hadapan.

“Hubungan erat ini penting dalam usaha memperkasakan sektor pendidikan negeri seterusnya melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Terdahulu, Hajiji menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jabatan Pendidikan Sabah yang diketuai oleh Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Raisin Saidin di pejabatnya di Menara Kinabalu, semalam.

Dalam pertemuan itu, Hajiji turut menzahirkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pendidikan di bawah pentadbirannya.

Beliau berkata komitmen itu dikhususkan dalam usaha meningkatkan kualiti pembelajaran, memperkasakan pengurusan sekolah, serta memastikan kelangsungan pembangunan holistik murid di Sabah.

Sementara itu, pada kunjungan tersebut, Raisin turut menyampaikan taklimat kepada Ketua Menteri tentang program utama Jabatan Pendidikan Sabah bagi tahun ini serta pelbagai perancangan untuk tahun hadapan.

Taklimat berkenaan turut merangkumi laporan mengenai perkembangan dan pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pelajar di Sabah yang merekodkan keputusan memberangsangkan.

Hadir sama dalam delegasi kunjungan hormat itu ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Indang Kasi Sibin dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Krishna KS @ Mohd Fadzli Abd Rozan.

Turut serta, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Muddin Beting dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Salleh Linggam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan