JOHOR BAHRU, 7 April (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan University of Canterbury (UC) secara rasmi melancarkan makmal satelit bersama, yang bertujuan memperkukuh kecemerlangan penyelidikan, inovasi serta pembangunan bakat pada peringkat global.
Naib Canselor UTM Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata inisiatif strategik bersama universiti dari New Zealand itu menumpukan kepada bidang utama termasuk kecerdasan buatan (AI), teknologi imersif, realiti lanjutan (XR) dan pengkomputeran termaju.
Beliau berkata penubuhan makmal itu akan memperkukuh keupayaan kedua-dua institusi dalam menghasilkan penyelesaian inovatif bertaraf global.
“Fokus utama makmal bersama ini adalah untuk melahirkan graduan dan penyelidik yang berdaya saing pada peringkat global.
“Seiring dengan kepesatan keperluan tenaga kerja, kerjasama itu akan mempermudah penyeliaan bersama, program mobiliti serta pendedahan imersif kepada ekosistem penyelidikan antarabangsa,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran makmal itu, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan) UC Profesor Lucy Johnston.
Mohd Shafry berkata makmal satelit itu dijangka mempercepat pemindahan teknologi dan inkubasi syarikat pemula niaga dengan memanfaatkan rangkaian industri antarabangsa, yang dikongsi oleh kedua-dua universiti.
Beliau berkata kerjasama itu juga adalah model kolaborasi rentas institusi, sekali gus mengukuhkan kedudukan UTM sebagai hab penyelidikan yang mempunyai rangkaian global.
“Ia juga membentuk asas kepada impak jangka panjang terhadap masyarakat dalam bidang pengkomputeran termaju, dan inovasi digital imersif yang berkembang pesat,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shafry pada sidang media berkata pihaknya turut merancang untuk bekerjasama dengan UC dalam usaha menaik taraf beberapa galeri bersejarah di UTM dengan teknologi digital.
Beliau berkata kerjasama itu dijangka mampu menjadi model rujukan galeri bersejarah di negara ini.
“Selain itu, rancangan kami adalah untuk mengadakan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) berkembar dengan UC.
"Kedua-dua pihak boleh mendapat kelebihan, memandangkan kita memerlukan tenaga pakar bagi tujuan menyelesaikan pelbagai masalah yang kompleks,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial