Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

WAR SPRM Lahir Generasi Muda Antirasuah

07/04/2026 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Usaha membanteras jenayah rasuah di negara ini tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada aspek penguatkuasaan, sebaliknya pembinaan modal insan generasi muda negara yang bersih dan berintegriti perlu bermula daripada akar umbi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Azmi Kamaruzaman berkata, langkah itu juga perlu disokong menerusi pendidikan serta pembentukan karakter generasi muda seawal peringkat prasekolah.

"SPRM yang juga sebagai Rakan DELIMa, iaitu rakan strategik dalam pelantar pembelajaran digital Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memastikan pendidikan antirasuah dapat disampaikan secara interaktif, inklusif  dan berimpak tinggi selari dengan peredaran teknologi," katanya pada Majlis Kemuncak “Kami Wira Anti Rasuah” Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Auditorium, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), KPM di Bukit Kiara, di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Program kolaborasi strategik antara SPRM dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) ini merupakan satu anjakan paradigma yang kritis melalui penerbitan buku "Wira Anti Rasuah" dan penganjuran Pertandingan Video Kreatif yang berjaya menarik 197 penyertaan sekolah rendah di seluruh negara, mesej integriti kini digarap dalam naratif kreatif yang segar dan dekat dengan jiwa generasi muda.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 325 hadirin itu menyaksikan Sekolah Kebangsaan Ulu Sapi Telupid, Sabah dinobatkan sebagai Juara Peraduan Persembahan Video Kreatif Kami Wira Anti Rasuah Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 manakala tempat kedua dimenangi oleh SJK (C) Merlimau, Melaka dan tempat ketiga ialah SK Sungai Dua, Kelantan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) KPM, Zainal Abas berkata, nilai positif dan pendidikan integriti dalam kalangan murid tidak hanya terhad dipupuk di bilik darjah malah perlu diperkasakan melalui aktiviti luar bilik darjah lebih menarik dan berkesan terutamanya dengan kerjasama SPRM.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM, Noor Amin Ahmad; Pengarah BSTP KPM, Aniza Kamarulzaman dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan