Oleh Syed Iylia Hariz-Qadri Syed Izman
KOTA KINABALU, 9 April (Bernama) -- Peluasan sistem kad fleet untuk sektor pengangkutan darat barangan ke Sabah disambut baik sebagai satu inisiatif penting dan memberi impak besar dalam memastikan pengagihan subsidi diesel lancar serta efisien di seluruh Malaysia Timur.
Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah David Chan berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan subsidi sampai kepada pengendali pengangkutan sah, di samping menangani isu kebocoran serta ketidakcekapan yang telah lama berlarutan.
Beliau menyifatkan langkah itu, yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, sebagai penting dalam menyokong ekosistem logistik Sabah yang berdepan kos operasi lebih tinggi berikutan cabaran geografi.
“YPNM melihat mekanisme kad fleet sebagai langkah positif yang mampu memperkukuh ketelusan, membendung ketirisan subsidi serta memastikan kesinambungan bantuan kerajaan dalam menghadapi kenaikan harga bahan api global dan ketidaktentuan ekonomi,” katanya kepada Bernama.
Semasa taklimat krisis tenaga global pada Isnin, Fadillah mengumumkan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan, dan memberi amaran kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung dan membatalkan kelulusan penggunaan kad berkenaan jika berlaku penyalagunaannya.
Fadillah berkata Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilaksanakan dari 16 Mac hingga 5 April telah merekodkan nilai rampasan barangan bersubsidi lebih RM2 juta melibatkan 8,148 pemeriksaan yang membawa kepada pembukaan 155 kes.
Daripada jumlah itu, sebanyak 60 kes melibatkan diesel dengan nilai rampasan lebih RM2.1 juta, 47 kes RON95 (RM51,299), 21 kes gas petroleum cecair (RM37,822) dan 27 kes melibatkan minyak masak, gula dan tepung gandum.
Menurut Chan, pelaksanaan sistem yang lebih teratur dijangka dapat memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan, di samping memupuk tahap akauntabiliti lebih tinggi dalam kalangan pemain industri.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan keterangkuman bagi pengusaha berskala kecil dan luar bandar, sambil menyatakan bahawa sistem yang diurus dengan baik mampu menstabilkan rantaian bekalan serta mengekalkan kemampuan harga barangan keperluan, khususnya di Sabah yang sangat bergantung kepada pengangkutan darat untuk pengedaran.
“Ekonomi Sabah amat bergantung kepada pengangkutan darat untuk penghantaran barangan. Sebarang gangguan atau ketidakcekapan dalam mekanisme subsidi bahan api akan memberi kesan langsung terhadap harga makanan, barangan keperluan harian, logistik serta kestabilan rantaian bekalan,” katanya.
Chan juga yakin bahawa dengan tindakan penguatkuasaan yang tepat dan garis panduan jelas, inisiatif berkenaan dapat memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua pihak iaitu pemain industri serta pengguna.
Beliau berkata sistem kad fleet adalah sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk mempermudah mekanisme subsidi bahan api, memperbaiki sasaran penerima, serta memastikan pengurusan fiskal yang mampan sambil melindungi kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Presiden Sabah United Chinese Chambers of Commerce (SUCCC) Datuk Michael Lui berkata sistem kad fleet perlu dilaksanakan dengan berhati-hati untuk meningkatkan keberkesanan tanpa mengganggu sistem SKDS sedia ada seperti diharapkan oleh perniagaan.
Beliau berkata pengenalan langkah baharu tanpa pertimbangan teliti boleh menimbulkan ketidakpastian dan memberi kesan negatif terhadap pembangunan di negeri itu.
“Saya menyeru kerajaan untuk mengemukakan cadangan lebih terperinci dan menyeluruh kepada rakyat serta mengadakan dialog dengan pemain industri tempatan… bagi memastikan dasar yang dirangka selaras dengan keperluan sebenar Sabah dan matlamat pembangunan jangka panjangnya,” katanya.
Lui berkata sistem subsidi diesel memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menyokong pengendali pengangkutan tetapi juga memacu pembangunan ekonomi Sabah, sambil memberi amaran bahawa sebarang perubahan boleh meningkatkan kos bagi perniagaan dan melebar jurang pembangunan berbanding Semenanjung Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial