MERSING, 9 April (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DOF) menubuhkan Galeri Taman Laut Mersing bagi meningkatkan kesedaran kepentingan pemeliharaan ekosistem laut dalam kalangan pelancong, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat serta sektor swasta.
Ketua Unit Taman Laut DOF Mersing Muhammad Irfan Ahmad Hanizar berkata inisiatif dengan kerjasama kerajaan negeri itu bertujuan membantu orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan Taman Laut Sultan Iskandar dan konservasi marin yang dijalankan jabatan berkenaan.
"Pembukaan galeri ini bertepatan dengan Tahun Melawat Johor 2026 dan kita menjangkakan ia akan menjadi tumpuan menerusi pelaksanaan pelbagai aktiviti bersama-sama Mersing Tourism Association (MTA),” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.
Galeri yang terletak di pejabat DOF di sini dan mula beroperasi sejak Sabtu lepas mempunyai lima sudut, iaitu penerangan, tayangan, konservasi, biodiversiti dan interaktif dengan kemasukan percuma.
Setiausaha MTA Ahmad Firdaus Shaik Omar berkata galeri itu bersifat produk pelancongan berasaskan pendidikan bagi memberi pendedahan awal kepada pelancong, sebelum mereka melawat pulau-pulau di daerah ini.
"Pada masa sama, kita mahu membentuk pelancongan lestari dengan menerapkan nilai penjagaan alam sekitar dan memberi panduan mengenai 'do's and don'ts' serta mengamalkan prinsip 'you take nothing but photograph and leave nothing but footprint' di kepulauan kita," katanya.
Katanya usaha itu penting bagi memastikan keseimbangan alam sekitar terus terpelihara di samping mendidik masyarakat akan amalan kitar semula dan tanggungjawab menjaga alam sekitar.
Galeri itu memaparkan replika dugong dan tulang ikan paus, menceritakan pembiakan ikan, pergerakan sotong, proses penyu bertelur, malah, pengunjung dapat menyaksikan pergerakan ikan dan obor-obor secara interaktif menerusi 3D holographic fans yang memberikan imej menyerupai hidupan sebenar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial