KUCHING, 9 April (Bernama) -- Projek pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Muara Tebas di sini kini berada dalam fasa perbincangan pengambilalihan tanah.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata rundingan sedang dijalankan antara pihak kementerian dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak bagi memastikan proses tersebut berjalan lancar mengikut prosedur.
Beliau berkata MAWILLA 4 merupakan projek strategik yang perlu disegerakan.
“Kita sudah kenal pasti lokasi dan sedang berurusan dengan kerajaan negeri supaya mereka dapat memudahkan proses pengambilalihan tanah.
“Soal tanah ini bukan mudah, tetapi saya berharap kita dapat selesaikan dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Muara Tuang di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata pembinaan MAWILLA 4 sebahagian daripada rancangan strategik pihaknya untuk memastikan keseimbangan penempatan anggota antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak dan Sabah.
“Namun, kita masih berusaha ke arah itu kerana ia bergantung kepada pelbagai faktor.
“(Faktor seperti) pembinaan kem baharu serta pemindahan aset merupakan satu proses yang tidak boleh dilaksanakan secara segera dan memerlukan perancangan rapi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial