KOTA BHARU, 9 April (Bernama) -- Projek menaik taraf Bazar Buluh Kubu di sini berikutan keuzurannya menandakan transformasi besar bagi premis berkenaan yang bakal dijenamakan semula sebagai Bazar Siti Aisyah.
Pengerusi Persatuan Batik dan Kraf Bazar Buluh Kubu, Datin Nik Rosmawati Nik Yusoff berkata bazar yang telah beroperasi lebih 41 tahun itu merupakan antara yang tertua di negeri ini dan kini memerlukan pembaharuan menyeluruh.
Beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan dengan peruntukan RM28 juta daripada Kerajaan Persekutuan itu adalah susulan pelbagai aduan sebelum ini berkaitan keadaan premis yang semakin uzur serta kekurangan kemudahan asas seperti pencahayaan tidak mencukupi, masalah parkir dan ketiadaan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya.
“Para peniaga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan atas usaha menaik taraf bazar ini.
“Bazar ini menempatkan kira-kira 100 peniaga dan sekitar 90 peratus daripadanya terlibat dalam perniagaan batik serta kraf tangan. Keadaannya sebelum ini agak uzur, namun kami bersyukur ia akan dinaik taraf tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Nik Rosmawati berkata peniaga dijangka mengosongkan premis berkenaan menjelang akhir bulan depan bagi memberi laluan kepada kerja naik taraf yang dianggarkan mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan.
Sepanjang tempoh itu, peniaga terlibat akan dipindahkan sementara ke bangunan bekas pasar raya di Jalan Padang Garong, dengan kadar sewa dijangka meningkat berikutan premis berkenaan milik pihak swasta.
“Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian insentif bagi meringankan beban peniaga sepanjang tempoh pemindahan ini kerana kos yang terlibat agak tinggi,” katanya.
Beliau turut berharap usaha promosi dapat dipergiatkan agar Bazar Siti Aisyah kelak terus menjadi destinasi pilihan pengunjung selepas dinaik taraf, sekali gus meningkatkan pendapatan peniaga.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial