Oleh Habsah Ismail
KOTA BHARU, 10 April (Bernama) -- Bahang cuaca panas bukan sahaja dirasai orang ramai, malah turut ‘membakar’ kos operasi pengusaha hotel dan inap desa di Kelantan, sehingga mendorong mereka beralih kepada tenaga solar sebagai langkah penjimatan jangka panjang.
Pengusaha kini giat melaksanakan pelbagai langkah penjimatan termasuk penggunaan teknologi hijau susulan peningkatan kos utiliti dan keadaan cuaca yang semakin mencabar.
Pengarah Urusan Citra Kadok Hotel & Banquet Hall, Masdiyah Jemain berkata penggunaan tenaga solar menjadi antara pendekatan utama bagi mengurangkan kebergantungan terhadap elektrik konvensional.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Cawangan Kelantan berkata pihaknya merancang menukar lampu kepada tenaga solar secara berperingkat selain melaksanakan operasi lebih efisien seperti sistem ‘self check-in’ (daftar masuk sendiri).
“Penjimatan turut melibatkan penyusunan semula jadual pekerja dengan meminimumkan kehadiran fizikal serta melaksanakan tugasan secara dalam talian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Masdiyah berkata penyusunan semula jadual itu termasuk bekerja dari rumah bagi mengurangkan kos operasi, selain mengakui tempahan bilik menunjukkan sedikit penurunan selepas musim perayaan, dipercayai akibat cuaca panas.
Beliau berkata langkah penjimatan perlu dilaksanakan lebih awal bagi memastikan industri pelancongan terus mampan dan tidak terjejas dalam tempoh jangka panjang.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Che Deris Garden Cottage, Mohamad Zin Yaacob berkata pihaknya telah menggunakan sepenuhnya lampu solar di kawasan premis walaupun kos permulaan tinggi, namun lebih menjimatkan bagi tempoh jangka panjang.
Pengarah Urusan Seri Melawi Chalet Bachok, Muhamad Hyder Syahril Mohd Nor pula berkata penggunaan peralatan cekap tenaga seperti kipas dan lampu berpenarafan lima bintang serta penyesuaian aktiviti kepada waktu pagi dan petang membantu mengurangkan penggunaan elektrik dan memastikan keselesaan pelanggan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata fenomena cuaca panas ketika ini berpunca daripada perubahan iklim global termasuk kesan El Nino yang menyebabkan keadaan lebih kering daripada kebiasaan.
Beliau menasihatkan pengusaha dan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar, memastikan pengambilan air mencukupi serta mengambil langkah sewajarnya bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca semasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial