KOTA TINGGI, 11 April (Bernama) -- Sebanyak 200,000 benih udang galah berjaya dihasilkan dan dilepaskan ke Sungai Sedili Besar, Kampung Gembut di sini dalam usaha memperkukuh kelestarian sumber perikanan sungai serta menjamin keterjaminan bekalan makanan negara.
Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata inisiatif berkenaan adalah langkah strategik berasaskan kerjasama institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat bagi memperkukuh sumber perikanan yang mampan, selain menjana ekonomi pesisir.
Beliau berkata Sungai Sedili Besar, Kampung Gembut mempunyai ekosistem air tawar yang masih terpelihara serta kaya biodiversiti, justeru usaha pemuliharaan perlu dilaksanakan secara berterusan dan berimpak tinggi.
“Kawasan ini mempunyai sistem sungai yang kaya biodiversiti. Justeru, usaha pemuliharaan seperti ini amat penting bagi memastikan kelestariannya untuk generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelepasan Benih Udang Galah di Pengkalan Bot Oren, Kampung Gembut hari ini.
Program berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Tinggi, Jabatan Perikanan Negeri Johor serta komuniti setempat.
Mohamed Khaled berkata udang galah adalah spesies air tawar bernilai komersial tinggi dengan permintaan pasaran yang kukuh, sekali gus berpotensi meningkatkan pendapatan nelayan sungai serta memperluas penyertaan komuniti dalam sektor akuakultur.
“Pendekatan ini bukan sahaja memulihara sumber, tetapi turut membuka ruang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat melalui akuakultur berskala kecil dan sederhana,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMT Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata program berkenaan mencerminkan kekuatan kolaborasi strategik antara universiti, agensi kerajaan dan komuniti dalam memperkukuh agenda pemuliharaan sumber akuatik negara.
Beliau berkata UMT sebagai institusi peneraju bidang kelautan dan akuakultur telah melaksanakan pelbagai program pelepasan benih di seluruh negara termasuk di Bukit Mentok (Kemaman), Bagan Lalang (Sepang), Sedili (Kota Tinggi), Merchang Wetland dan Sungai Nyatoh (Setiu), sebagai usaha memperkukuh ekosistem perairan negara secara menyeluruh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial