DUNGUN, 12 April (Bernama) -- Seorang petani mengalami kerugian dianggarkan RM20,000 apabila tanaman sayur-sayuran yang diusahakan di Kampung Minda dekat sini rosak akibat cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.
Sulaiman Ismail, 39, berkata beliau mengalami kerugian apabila hanya sebahagian kecil sayur-sayuran yang ditanam di kawasan seluas 2.5 hektar seperti kacang panjang, cili, bendi, timun dan kangkung sempat dituai.
Beliau berkata kebanyakan tanaman itu rosak apabila sumber air dari paya dan sungai berdekatan hampir kering akibat cuaca panas, sekali gus menjejaskan sistem pengairan di dalam kebunnya.
“Pada musim panas ini saya hanya mampu menuai dan memasarkan kira-kira 200 kilogram sayur-sayuran sehari berbanding hampir satu tan metrik sehari pada musim lain.
“Kebanyakan sayur-sayuran itu juga terpaksa dijual lebih murah di pasaran kerana kualitinya merosot akibat cuaca panas,” katanya ketika ditemui di Kampung Minda di sini hari ini.
Sulaiman berkata keadaan itu menjejaskan pendapatannya apabila hasil jualan keseluruhan pada musim ini hanya sekitar RM2,000, berbanding lebih RM20,000 sebulan pada musim lain.
Selain itu, beliau berkata cuaca panas itu turut menyebabkan tanaman yang diusahakan lebih mudah diserang serangga perosak, sekali gus menjejaskan pertumbuhan dan hasil pengeluaran.
“Cuaca panas biasanya meningkatkan populasi beberapa jenis serangga perosak yang menyerang dan merosakkan sayur-sayuran seperti kutu daun, ulat daun dan hama,” katanya.
Sulaiman bagaimanapun berkata beliau kini sedang membuat persiapan untuk menanam semula pelbagai jenis sayur-sayuran bagi musim baharu sebagai persediaan untuk dipasarkan menjelang sambutan Aidiladha akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Minda Mohamad Nordin Saman berkata terdapat lapan penduduk yang menanam sayur-sayuran secara kecil-kecilan di sekitar kampung berkenaan untuk mendapatkan pendapatan tambahan.
“Pendapatan pekebun berkenaan turut terjejas apabila tanaman yang diusahakan tidak mengeluarkan hasil memuaskan akibat cuaca panas ketika ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata Projek Berkelompok Tanaman Padi Paya Melong seluas 36 hektar di kampung itu tidak terjejas teruk kerana mempunyai sistem pengairan yang baik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial