GEORGE TOWN, 15 Jun (Bernama) -- Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi World Women Empowerment Impact Award 2026 pada World Women Economic and Business Summit (WWEBS) di sini hari ini.
UTeM dalam kenyataan memaklumkan beliau menerima piala dan sijil kecemerlangan yang disampaikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan, sumbangan transformatif dan komitmen dalam memperkasakan wanita serta memacu pembangunan inklusif dalam sektor pendidikan tinggi.
“Kepimpinan Massila turut menyumbang kepada pengukuhan kecemerlangan institusi, peluasan kerjasama industri-akademik serta pembukaan lebih banyak peluang kepada wanita untuk berkembang sebagai pemimpin, pencipta dan ejen perubahan,” menurut kenyataan itu.
Menurut UTeM, anugerah itu turut mengiktiraf peranan Massila dalam memperjuang pendidikan tinggi sebagai pemangkin pemerkasaan masyarakat, selain sumbangan berterusannya terhadap pembangunan wanita di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
Di bawah kepimpinan Massila, universiti berkenaan terus memperkukuh kedudukannya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain mencatat peningkatan pengambilan pelajar tertinggi dalam sejarahnya serta melahirkan graduan berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial