PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Universiti Putra Malaysia (UPM) diiktiraf sebagai peneraju kebolehpasaran graduan negara apabila 18 bidang pengajian universiti itu meraih penarafan tertinggi Pilihan Majikan 6 Bintang dalam penilaian Indeks Kebolehpasaran Siswazah Kebangsaan Talentbank 2026.
Pengiktirafan itu adalah hasil penilaian nasional berasaskan maklum balas dan pengesahan lebih 1,200 majikan di seluruh negara.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM Prof Dr Arifin Abdu berkata pengiktirafan itu membuktikan keberkesanan pendekatan universiti dalam memastikan graduan bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah relevan dengan keperluan industri.
“Pengiktirafan ini adalah refleksi langsung keyakinan majikan terhadap kualiti graduan UPM. Kami sentiasa memastikan kurikulum, latihan industri dan pembangunan sahsiah pelajar selari dengan kehendak pasaran kerja sebenar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM Prof Madya Dr Hizmawati Madzin berkata hubungan strategik dengan industri menjadi antara faktor utama kejayaan berkenaan.
“Kekuatan utama UPM terletak pada kolaborasi erat bersama industri. Melalui pendekatan berasaskan data dan pengesahan majikan, kami memastikan setiap program pengajian benar-benar menghasilkan graduan yang diyakini dan dikehendaki pasaran,” katanya.
Beliau berkata penarafan enam bintang merentas pelbagai disiplin membuktikan kebolehpasaran graduan universiti itu bukan bersifat terhad kepada bidang tertentu, sebaliknya menyeluruh dan konsisten.
Menurut laporan Talentbank, keyakinan tinggi majikan terhadap graduan UPM berpunca daripada kesepadanan antara kurikulum akademik dengan keperluan sebenar industri, termasuk aspek kemahiran profesional, disiplin kerja serta keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran pekerjaan.
Sebanyak 18 bidang pengajian universiti itu menerima penarafan tertinggi enam bintang, sekali gus menempatkan bidang-bidang berkenaan dalam kelompok lima terbaik di peringkat nasional.
Antara bidang terlibat ialah aeroangkasa dan aeronautik, pertanian, seni bina, bioteknologi, pengurusan perniagaan, kejuruteraan kimia, komunikasi dan penyiaran, sains komputer dan teknologi maklumat serta sains makanan.
UPM juga menduduki tempat pertama dalam kalangan universiti awam bagi bidang pertanian, ekonomi dan sains makanan, selain mengekalkan kedudukan itu bagi bidang sains makanan selama lima tahun berturut-turut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial