KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat berpotensi menjadi sumber kerjaya berimpak tinggi kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ahli Majlis TVET Negara Mohammad Rizan Hassan berkata industri itu menawarkan prospek kukuh kerana setiap pesawat perlu menjalani penyelenggaraan dan pemeriksaan berkala mengikut piawaian keselamatan yang ketat sekali gus mewujudkan permintaan berterusan terhadap tenaga kerja berkemahiran.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) itu berkata Malaysia memiliki kelebihan tersendiri untuk muncul sebagai hab MRO serantau berikutan kedudukannya yang strategik di tengah-tengah Asia selain disokong ekosistem industri penerbangan yang semakin berkembang.
"Sektor MRO bukan sekadar membuka peluang pekerjaan tetapi juga berpotensi melahirkan lebih ramai tenaga pakar sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab penyelenggaraan penerbangan.
"Tenaga teknikal pesawat berkemahiran bukan sahaja boleh bekerja di Malaysia malah turut mempunyai permintaan tinggi di Asia Barat, Eropah dan Asia dengan tawaran gaji yang kompetitif," katanya ketika ditemu bual Bernama Radio hari ini mengenai topik TVET 2.0: Memacu Bakat Masa Depan Negara.
Mengulas mengenai perkembangan landskap pekerjaan masa depan, Mohammad Rizan berkata pelaksanaan TVET 2.0 amat penting bagi memastikan kurikulum latihan sentiasa relevan dengan kehendak industri yang semakin dipacu teknologi baharu seperti kenderaan elektrik, teknologi awan dan Internet Pelbagai Benda (IoT).
“Revolusi teknologi menuntut tenaga kerja teknikal memiliki set kemahiran lebih luas kerana juruteknik masa kini bukan sahaja perlu menguasai aspek mekanikal tradisional malah turut menguasai kefahaman data, sensor dan automasi,” katanya.
Beliau berkata kekuatan sesebuah negara pada masa hadapan tidak lagi hanya diukur berdasarkan pembangunan infrastruktur fizikal seperti bangunan atau lebuh raya sebaliknya bergantung kepada kualiti rakyat yang menguasai kemahiran tinggi.
Mohammad turut menggesa golongan belia dan ibu bapa agar meninggalkan stigma lapuk terhadap TVET serta melihat bidang itu sebagai laluan profesional yang menawarkan prospek kerjaya setanding bidang akademik lain.
Sementara itu, Hari TVET Negara yang disambut pada 2 Jun setiap tahun bagi mengiktiraf peranan TVET sebagai pemacu pembangunan modal insan negara terus menjadi platform penting dalam memperkukuh agenda TVET MADANI yang menekankan elemen kemahiran, inovasi dan kebolehpasaran graduan.
Di bawah kerangka Malaysia MADANI, TVET tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua sebaliknya diangkat menjadi agenda nasional, dengan kerajaan komited untuk memperkasakan bidang kemahiran melalui penawaran kursus yang seiring dengan keperluan teknologi semasa dan tuntutan pelaburan industri global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial