PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Prasarana Malaysia Bhd digesa memberikan perhatian lebih serius terhadap isu teknikal dan penyelenggaraan bagi memastikan gangguan perkhidmatan tren dapat diminimumkan, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT).
Menteri berkenaan Anthony Loke berkata gangguan yang berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini menimbulkan cabaran besar kepada usaha kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, selain menjejaskan keyakinan pengguna.
"Tiada siapa yang mahu gangguan (tren) berterusan. Memang ada cabaran dan saya sendiri berasa berang kerana hampir setiap minggu berlaku gangguan," katanya pada sidang media berhubung kempen penggunaan rel bagi menangani peningkatan kos bahan api, di sini hari ini.
Loke berkata gangguan yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada insiden teknikal yang tidak dapat dijangka, termasuk kerosakan komponen kritikal seperti sistem isyarat dan switch yang boleh menjejaskan operasi stesen serta perjalanan tren.
Beliau berkata sebagai contoh, kerosakan pada sistem switch boleh menyebabkan sesebuah stesen tidak dapat berfungsi dengan baik, sekali gus mengakibatkan gangguan terhadap perkhidmatan tren.
Sehubungan dengan itu, Loke berkata MOT telah mengarahkan Prasarana meningkatkan tahap penyelenggaraan serta pemantauan sistem bagi memastikan perkhidmatan rel lebih terjamin dan boleh dipercayai oleh pengguna.
"Saya telah pun mengarahkan pihak Prasarana untuk memberikan perhatian yang cukup serius dan lebih besar kepada isu-isu teknikal untuk memastikan perkhidmatan ini dapat lebih terjamin," katanya.
Sementara itu, Loke berkata Prasarana akan melaksanakan kempen menggalakkan penggunaan rel dalam membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup dengan meneruskan pelaksanaan Pas Bulanan Perjalanan Tanpa Had My50 yang menawarkan penjimatan besar kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.
Beliau berkata pas berkenaan ditawarkan pada harga RM50, iaitu diskaun sebanyak 67 peratus daripada nilai sebenar RM150 bagi penggunaan tanpa had selama 30 hari melibatkan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana.
"Kini, sebanyak 40 peratus pengguna telah menggunakan pas My50 ini, kerajaan berharap lebih ramai rakyat Malaysia di Lembah Klang memanfaatkan pas ini.
"Inisiatif ini memberikan manfaat besar kepada pengguna harian dan berkala dengan memastikan akses berterusan ke tempat kerja tanpa beban kewangan tambahan, di samping membantu pengguna merancang perbelanjaan bulanan dengan lebih teratur susulan kenaikan kos bahan api," katanya.
Selain My50, Loke berkata Prasarana turut menawarkan pas perjalanan lain seperti Rapid Kota dan Rapid Keluarga, khusus untuk rakyat Malaysia bagi memperluas akses dan fleksibiliti penggunaan pengangkutan awam.
Beliau berkata pas Rapid Kota ditawarkan pada harga RM10 bagi pas satu hari dan RM25 bagi pas tiga hari dengan manfaat perjalanan tanpa had, sesuai untuk pengguna tidak berkala.
Sementara itu, pas Rapid Keluarga berharga RM30 menawarkan perjalanan berkumpulan tanpa had selama satu hari untuk maksimum empat orang, khusus bagi rakyat Malaysia pada hujung minggu dan cuti umum.
"Pas ini dirangka bagi menyokong institusi keluarga melalui penyediaan pilihan pengangkutan awam yang lebih menjimatkan, di samping memberikan kelebihan kepada rakyat Malaysia untuk memulakan perjalanan serta menjalankan aktiviti keluarga dengan kos yang lebih berpatutan di Lembah Klang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial