PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Kerajaan akan memantau secara berterusan penggunaan bahan api negara dan bercadang menerbitkan data permintaan minyak secara mingguan bagi menilai keberkesanan pelbagai langkah penjimatan yang dilaksanakan susulan krisis tenaga global ketika ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata sukar untuk membuat anggaran awal jumlah pengurangan penggunaan kenderaan atau bahan api daripada kempen penjimatan yang dilaksanakan kerana kesannya hanya dapat dinilai berdasarkan trend permintaan minyak dari semasa ke semasa.
Beliau berkata cadangan untuk mewujudkan paparan data (dashboard) penggunaan bahan api telah dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bagi memastikan tahap ketelusan maklumat kepada rakyat.
"Pengurangan itu hanya boleh dilihat apabila kempen ini berjalan dan setiap minggu ada laporan permintaan terhadap minyak yang dapat diumumkan oleh pihak KPDN," katanya pada sidang media mengenai kempen penggunaan perkhidmatan rel bagi menangani peningkatan kos bahan api, di sini, hari ini.
Beliau berkata semua pihak termasuk individu perlu memainkan peranan dalam usaha mengurangkan penggunaan tenaga, kerana kejayaan kempen penjimatan tidak hanya bergantung kepada dasar kerajaan semata-mata.
Dalam pada itu, Loke berkata kerajaan turut menggalakkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan beralih kepada pengangkutan awam bagi mengurangkan penggunaan bahan api, termasuk melalui pemberian diskaun tiket yang ditawarkan kepada pengguna.
Beliau berkata keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan bekalan bahan api negara dapat bertahan lebih lama dengan mengawal permintaan dan penggunaan, memandangkan keadaan konflik di Asia Barat yang masih berterusan.
"Cara paling praktikal untuk kita menangani krisis ini adalah memastikan bekalan kita dapat bertahan selama mungkin. Untuk itu, kita perlu mengawal permintaan dan penggunaan," katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan juga meneruskan pemberian subsidi diesel secara bersasar kepada sektor tertentu seperti pengangkutan barangan keperluan dan bas pengangkutan awam, namun sebarang keputusan untuk memperluaskan subsidi kepada sektor lain tertakluk kepada pertimbangan Kementerian Kewangan dan KPDN.
Sementara itu, Loke menafikan dakwaan bahawa negara berdepan kekurangan bekalan bahan api susulan laporan beberapa stesen minyak kehabisan stok.
Beliau berkata kejadian tersebut merupakan kes terpencil yang berkaitan dengan isu penghantaran atau permintaan setempat yang tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial