PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun 30 peratus bagi pembelian tiket tren elektrik (ETS) untuk semua sektor serta tren Ekspres Rakyat Timuran (ERT) laluan JB Sentral–Tumpat–JB Sentral sebagai langkah membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga bahan api akibat krisis Asia Barat.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan rel sebagai mod pengangkutan utama yang lebih menjimatkan dan efisien.
Beliau berkata diskaun berkenaan ditawarkan bagi perjalanan pada setiap Isnin hingga Khamis sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkasakan penggunaan pengangkutan awam melalui perkhidmatan kereta api yang selesa, selamat dan cekap.
Bagaimanapun, Loke berkata tawaran diskaun itu tidak terpakai semasa musim cuti sekolah dan cuti umum bagi memastikan pengurusan kapasiti tren dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan efisien, khususnya dalam tempoh permintaan tinggi.
"Bagi menikmati tawaran ini, pelanggan perlu membuat pembelian tiket menggunakan kod promosi yang akan diumumkan oleh KTMB bermula dari 15 hingga 30 April ini untuk tempoh perjalanan dari 15 April hingga 14 Oktober ini," katanya dalam sidang media berhubung kempen penggunaan rel bagi menangani peningkatan kos bahan api, di sini hari ini.
Loke berkata bagaimanapun, diskaun berkenaan tidak melibatkan tiket Kelas Perniagaan bagi tren ETS, Kelas 1 dan Kelas Tempat Tidur bagi perkhidmatan ERT serta pemegang tiket konsesi.
Selain KTMB, Loke berkata inisiatif itu turut melibatkan perkhidmatan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) yang akan memperkenalkan dua pas perjalanan bulanan baharu dengan diskaun hingga 90 peratus.
Beliau berkata inisiatif bersasar itu merangkumi MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya serta MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.
"Kedua-dua program akan menawarkan perjalanan tanpa had sepanjang tempoh promosi tersebut dan pengguna menikmati diskaun hingga 90 peratus berbanding kadar biasa mengikut sektor perjalanan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial