Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Australia Albanese Tiba Di Malaysia Bagi Lawatan Rasmi Tiga Hari

15/04/2026 06:56 PM

SUBANG, 15 April (Bernama) -- Perdana Menteri Australia Anthony Albanese tiba di sini, hari ini, bagi mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia.

Pesawat khas yang dinaiki Albanese dan delegasinya mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada 5.15 petang dan beliau disambut oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Perdana Menteri Australia itu kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) yang diketuai Kapten Muhamad Thabrani Mohamad Sharudin.

Ad Banner

Albanese akan diberikan sambutan rasmi di Putrajaya esok, diikuti kemudiannya pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pertemuan dua hala yang melibatkan menteri kanan dan pegawai dari kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan mengenai isu konflik di Asia Barat dan kerjasama dalam memastikan keterjaminan tenaga dan rantaian bekalan.

Perbincangan dijangka tertumpu pada usaha untuk mengekalkan aliran bekalan penting yang stabil, termasuk bahan api, di tengah-tengah cabaran ekonomi dan geopolitik global yang sentiasa berubah.

Susulan mesyuarat tersebut, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi bidang kepentingan bersama dan mengadakan sidang akhbar bersama untuk mengumumkan hasil perbincangan serta komitmen memperkukuh hubungan Malaysia-Australia.

Australia merupakan rakan ekonomi penting bagi Malaysia, berada di kedudukan ke-12 sebagai rakan dagang terbesar negara pada 2025, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (US$18.38 bilion).

Malaysia dan Australia telah meningkatkan hubungan mereka kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2021, bagi mengembangkan lagi kerjasama merentasi tiga tonggak utama: kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi, serta pertahanan dan keselamatan serantau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan