KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Pengumuman insentif oleh kerajaan bagi membantu pesawah, petani dan pekebun kecil disifatkan sebagai langkah signifikan yang memberi kelegaan kepada golongan itu susulan kenaikan kos bahan api akibat krisis tenaga global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kenaikan kadar Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar tentunya memberi kelegaan kepada sebahagian pesawah yang bakal memulakan musim penanaman bulan ini.
Beliau berkata peningkatan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi daripada RM300 kepada RM400 sebulan juga membuktikan Kerajaan MADANI memahami beban yang sedang ditanggung oleh lebih 200,000 petani dan pekebun kecil yang kini bergelut dengan peningkatan kos operasi pertanian.
“Bang Mat turut menghargai langkah kerajaan memudah cara pembelian diesel bagi kegunaan jentera pertanian melalui pelonggaran syarat permit khas untuk pembelian bahan api melebihi 20 liter, yang pastinya akan melancarkan operasi di lapangan.
“Kesemua langkah tambahan ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI terus cakna dan peduli terhadap kebajikan pesawah dan petani negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam taklimat krisis tenaga global mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar IPKP, BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu kepada rakyat Malaysia yang layak sebagai langkah segera mengurus krisis tenaga global, sekali gus melindungi dan menjamin kelangsungan hidup rakyat yang membanting tulang sebagai pesawah.
Mohamad berkata beliau yakin semua bantuan yang diumumkan itu bukan langkah terakhir kerajaan dalam memastikan sektor pertanian negara kekal aktif, berdaya tahan dan mampu menjamin keterjaminan makanan rakyat.
“Tentunya kerajaan dari semasa ke semasa akan melihat kesan krisis tenaga global ke atas sektor keterjaminan makanan dan akan mempertimbangkan langkah mitigasi tambahan sekiranya diperlukan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial