Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MAHA 2026 Platform Terbaik Usahawan Sabah Promosi Produk Pertanian

13/06/2026 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 pada 28 Ogos hingga 6 Sept depan, menyediakan platform terbaik bagi usahawan Sabah mempromosikan produk, memperluaskan rangkaian perniagaan dan meneroka peluang pasaran baharu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata produk pertanian Sabah seperti buah-buahan tropika, hasil perikanan, ternakan serta pelbagai produk hiliran tempatan berpotensi besar untuk dipasarkan ke dalam dan luar negara.

Beliau berkata ini termasuk beras premium Sabah, Avokado QAV1, Limau Pomelo Tenom dan bawang merah Kundasang.

Ad Banner
Ad Banner

“Sebagai anak jati Sabah, saya amat berbangga melihat semakin ramai usahawan agro tempatan berjaya menghasilkan produk berkualiti tinggi dan berdaya saing.

“Saya percaya penyertaan aktif usahawan Sabah dalam MAHA 2026 akan membuka lebih banyak peluang pelaburan, perdagangan dan pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program “Road to MAHA 2026 @ Sabah” sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan di pekarangan Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah hari ini, teks ucapan beliau diedar kepada media di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri.

Program Road to MAHA 2026 @ Sabah yang berlangsung dari 11 hingga esok (14 Jun) menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung termasuk Jualan Agro MADANI, Jualan “Happy Hour”, Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan, promosi usahawan agro, demonstrasi pertanian, “pocket talk”, pertandingan mewarna dan aktiviti teka berat.

Dalam pada itu, Chan berkata MAHA yang memasuki edisi ke-14 penganjurannya, bakal menghimpunkan komuniti pertanian, pemain industri agromakanan, penggubal dasar, pelabur serta masyarakat umum di bawah satu visi bersama untuk memperkukuh sektor agromakanan negara.

Beliau berkata MAHA menjadi platform penting untuk memperkenalkan teknologi, inovasi dan penyelesaian baharu yang dapat meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

“Dalam dunia yang berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan makanan, perubahan iklim dan peningkatan kos pengeluaran, keterjaminan makanan bukan lagi satu pilihan tetapi satu keutamaan nasional,” katanya.

Penganjuran MAHA 2026 dijangka mencatat kehadiran 4 juta pengunjung, melibatkan lebih 2,000 pempamer, sasaran nilai memorandum persefahaman (MoU) sebanyak RM8 bilion serta nilai jualan keseluruhan berjumlah RM58 juta.

Bertemakan “Penciptaan Nilai untuk Keterjaminan Makanan”, MAHA 2026 bakal berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan