KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Lembaga Getah Malaysia (LGM) menyita kira-kira empat tan sarung tangan getah haram yang disimpan di dalam guni serta sebuah alat penimbang dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM20,000 dalam serbuan di sebuah premis di Puchong, Selangor, semalam.
LGM dalam kenyataan memaklumkan serbuan ke atas premis tersebut kerana dipercayai aktif menjalankan aktiviti membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah yang ditolak dan sarung tangan getah sekerap tanpa permit.
Menurut kenyataan itu, serbuan dijalankan menerusi operasi bersepadu Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan (UIP) LGM dengan kerjasama Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).
LGM dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa aktiviti berkenaan, merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014, khususnya Peraturan 22(1)(b).
“Tiada seorang pun boleh membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah yang ditolak dan sarung tangan getah sekerap, melainkan jika orang itu memegang suatu Permit PST-G.
“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014, individu tersebut boleh dikenakan denda sebanyak tidak melebihi lima puluh ribu ringgit (RM50,000) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” menurut kenyataan itu.
LGM memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa mempergiat aktiviti kawal selia industri sarung tangan getah termasuk aspek kualiti selaras dengan kedudukan Malaysia yang merupakan pengeksport sarung tangan getah terbesar dunia.
Orang awam turut dialu-alukan menyalurkan sebarang aduan berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) LGM di https://lgm.spab.gov.my/eApps/system/index.do.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial