KUCHING, 15 April (Bernama) -- Kerajaan Sarawak telah meluluskan pengurangan 50 peratus dalam kadar royalti dan caj berkanun terpilih untuk balak hutan asli merentasi semua Lesen Kayu Hutan (FTL) dan Lesen untuk Hutan Tanam (LPF).
Jabatan Perhutanan Sarawak melalui satu kenyataan berkata pengurangan itu tidak termasuk Tarif Industri Kayu Balak H0272502.
“Langkah sementara ini akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu bagi membolehkan kemas kini sistem dan akan terus berkuat kuasa selama setahun, tertakluk kepada semakan.
“Campur tangan ini amat bertepatan pada masa, ia mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk menyokong industri perhutanan dan perkayuan di tengah-tengah kenaikan harga bahan api, ketidaktentuan pasaran global, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos operasi,” katanya.
Pengurangan tersebut bertujuan untuk memberikan pelepasan kos segera, meningkatkan daya maju operasi, menstabilkan margin, mengukuhkan pemprosesan kayu domestik dan memastikan penyertaan industri yang berterusan termasuk menstabilkan bekalan.
Peningkatan dalam kos baru-baru ini mendorong peralihan ke arah pengeluaran berorientasikan eksport, yang mana margin adalah lebih kukuh, membawa kepada penurunan dalam aktiviti pemprosesan domestik.
“Langkah ini dijangka dapat mengimbangi semula sektor itu dengan meningkatkan daya saing pemprosesan tempatan dan mengukuhkan rantaian nilai keseluruhan kayu. Pengeluaran diunjurkan stabil pada kira-kira 1.73 juta meter padu setiap tahun, mencerminkan keyakinan industri yang bertambah baik,” katanya.
Selain bantuan jangka pendek, Sarawak kekal komited terhadap pemulihan dan kelestarian hutan.
“Negeri ini secara agresif telah melaksanakan inisiatif Kempen Penghijauan Sarawak dan Pemulihan Landskap Hutan (FLR) sebagai tonggak utama agenda alam sekitarnya. Dari 2021 hingga 2025, lebih 57 juta pokok telah ditanam di seluruh Sarawak, mewakili pencapaian penanaman pokok tertinggi di Malaysia.
“Usaha ini menyumbang kepada pemulihan landskap hutan yang terdegradasi, meningkatkan biodiversiti, mengukuhkan penyerapan karbon, melindungi tadahan air dan memastikan kelestarian sumber hutan secara jangka panjang,” tambahnya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial