SEREMBAN, 15 April (Bernama) -- Jabatan Bantuan Guaman (JBG) mempergiat usaha mendekati masyarakat bandar dan luar bandar menerusi inisiatif van bergerak Justice on Wheels bagi meningkatkan kesedaran tentang hak dan perkhidmatan bantuan guaman yang disediakan.
Timbalan Ketua Pengarah JBG Arleen Ramly berkata inisiatif itu, merupakan usaha memperluas akses kepada keadilan melalui pendekatan proaktif dengan mendekati masyarakat, serta membantu komuniti yang berdepan kekangan dari segi lokasi dan kewangan untuk mendapatkan maklumat berkaitan perundangan.
“Usaha ini bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada memperoleh akses kepada keadilan. Menerusi Justice on Wheels, komuniti boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan seperti khidmat nasihat guaman, kes litigasi, pengantaraan (mediasi) serta pendamping guaman.
“Selain itu, orang awam juga boleh mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan melalui portal rasmi JBG, selain berhubung menerusi kemudahan chatbox bagi mendapatkan maklumat awal sebelum menerima bantuan lanjut,” katanya ketika taklimat khidmat mediasi dan Justice on Wheels kerjasama bersama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah JAPEN negeri Supian Musa pada program Influencer@JAPEN diadakan di pekarangan parkir Wisma Persekutuan di sini.
Statistik perkhidmatan di JBG Negeri Sembilan merekodkan 1,795 khidmat nasihat, litigasi (565), mediasi (417) pendamping guaman (sembilan) diberikan di negeri itu pada tahun lepas.
Arleen menjelaskan setelah Akta Guaman dan Pembelaan Awam 2026 (Akta 878) dikuatkuasakan, JBG akan memberikan perkhidmatan pembelaan awam iaitu pembelaan dalam kes jenayah dan jenayah syariah serta melantik peguam panel mewakili tertuduh.
Pelaksanaan Akta 878, membolehkan JBG mengambil alih dan memperkasakan fungsi khidmat pembelaan awam yang sebelum ini diuruskan oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), sekali gus meluaskan akses bantuan guaman kepada masyarakat.
Sementara itu, Supian berkata program kerjasama JAPEN dan JBG bertujuan memberi penerangan kepada penjawat awam di agensi Wisma Persekutuan negeri itu mengenai peranan dan perkhidmatan bantuan guaman.
Beliau berkata pendekatan Influencer@JAPEN melalui platform Kenderaan Serba Guna (MFV) iaitu JAPEN Arena Penggerak Komuniti (JAGO) bersama Justice on Wheels kendalian JBG negeri, mampu menyampaikan maklumat perundangan kepada masyarakat dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
“JAPEN turut memanfaatkan platform kerjasama ini untuk memberi penjelasan mengenai krisis di Asia Barat, serta usaha kerajaan dalam menanganinya selain mendidik masyarakat mengenal pasti dan menangani penyebaran berita palsu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial