KOTA KINABALU, 16 April (Bernama) -- Kuasa pelaksanaan 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM4.06 bilion di Sabah diserah kepada kerajaan negeri itu dalam usaha mempercepat penyelesaian projek berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata daripada 83 projek tersebut, sebanyak 37 daripadanya kini sedang pada peringkat prapelaksanaan.
Beliau berkata langkah proaktif dan pendemokrasian kuasa atau desentralisasi itu, disifatkan sebagai satu pengubah keadaan untuk menangani isu kelewatan projek, seterusnya memberikan bekalan air lebih stabil buat rakyat luar bandar negeri ini.
“Ini susulan keputusan Jemaah Menteri bertarikh 17 Mac 2026 yang bersetuju sepenuhnya untuk menyerahkan pelaksanaan projek-projek BALB di Sabah terus kepada Kerajaan Negeri Sabah.
“Langkah menyerahkan projek bernilai besar RM4.06 bilion ini juga, merupakan bukti keyakinan dan kepercayaan penuh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) terhadap keupayaan pentadbiran Kerajan Negeri Sabah,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Penyerahan BALB kepada Kerajaan Negeri Sabah di sini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun juga Menteri Kewangan Sabah dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Rubin Balang.
Ahmad Zahid berkata langkah drastik itu diambil, bagi menyelesaikan masalah banyak projek BALB yang terbengkalai dan tertangguh, sebahagiannya sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) pada tahun 2016.
“Ada projek yang telah sepuluh tahun tidak dapat dijalankan kerana beberapa kekangan birokrasi, terutamanya membabitkan kebenaran merancang, jajaran baharu spesifikasi lokasi, isu pelantikan perunding serta kontraktor, selain masalah tanah,” katanya.
Bagi merealisasikan inisiatif itu, Ahmad Zahid berkata projek-projek terbabit akan diletakkan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan kerja-kerja pelaksanaan pula akan diterajui sepenuhnya oleh tiga agensi utama negeri iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah serta Jabatan Air Negeri Sabah.
“Bagi memastikan setiap projek ini bergerak mengikut garis masa yang ditetapkan, sebuah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) telah ditubuhkan.
“Jawatankuasa yang bermesyuarat mulai minggu hadapan ini, melibatkan pegawai KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah), KPLB Sabah dan Setiausaha Persekutuan bagi memantau kelancaran projek secara ketat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa langkah penyerahan kuasa ini tidak mempunyai kaitan langsung dengan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sebaliknya dilakukan secara proaktif di luar kerangka perbincangan perjanjian tersebut, khusus demi manfaat serta kesejahteraan rakyat di Sabah.
Ahmad Zahid juga memuji komitmen pantas Kerajaan Negeri Sabah mendepani cabaran itu, apabila beliau dimaklumkan mengenai kewujudan 184 perjawatan baharu antaranya jurutera dan juruteknik, bagi melicinkan pelaksanaan projek terbabit.
Dalam memastikan agenda mensejahterakan rakyat tercapai, beliau menyeru agar semua perbezaan ideologi politik diketepikan, agar komitmen dan manifesto parti membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lepas dapat diterjemah kepada realiti.
“Kita merancang untuk meneruskan desentralisasi ini dan dalam masa dua minggu lagi, Menteri KPLB Sabah (Rubin) akan ke KKDW di Putrajaya bagi menyelaraskan penurunan kuasa untuk projek infrastruktur luar bandar yang lain,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial